Lepas selesaikan misi ke-33, Selangor FC kembali kemarau trofi selama 8 tahun


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Kejayaan skuad Gergasi Merah menyempurnakan misi ke-33 Piala Malaysia lapan tahun lalu pastinya sukar dilupakan peminat pasukan Lembah Klang tersebut.

PENYOKONG Selangor FC ketika ini pastinya sedang gembira meraikan kejayaan pasukan menamatkan penantian untuk beraksi di pentas Asia.

Mereka yang sudah berjaya mengesahkan kedudukan sebagai naib juara Liga Super 2023 diberikan tiket secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 pada edisi akan datang.

Walaupun pencapaian itu dipandang remeh penyokong pasukan lain, adalah tidak salah buat penyokong skuad Gergasi Merah untuk meraikannya.

Bagaimanapun, sekiranya ditanya pengikut kelab Lembah Klang tersebut, mereka pastinya mengharapkan Selangor FC dapat menamatkan kemarau kejuaraan pada tahun-tahun mendatang.

SHAH ALAM 12 DECEMBER 2015. Pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri dinobatkan permain terbaik perlawanan akhir TM Final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam NSTP/Osman Adnan

Dua gol daripada Hazwan mengesahkan kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33 buat Selangor.

Mereka yang pernah diangkat sebagai pasukan tanah air terbaik masih memegang rekod kejuaraan Piala Malaysia terbanyak dalam sejarah pertandingan setelah memenanginya sebanyak 33 kali.

Namun, apa yang semestinya sukar dilupakan adalah kejayaan kali terakhir direkodkan pada 12 Disember lapan tahun lalu apabila skuad Gergasi Merah menumpaskan Kedah FA di Stadium Shah Alam, Selangor.

Dua gol daripada Hazwan Bakri dalam pertembungan berkenaan sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan buat skuad kendalian Mehmet Durakovic di hadapan ribuan penyokong.

Apa yang lebih menarik dalam perlawanan terbabit adalah apabila skuad Sang Kenari ketika itu dikendalikan Tan Cheng Hoe yang kini sedang mempamerkan kebolehannya bersama Selangor FC.

FW1270598_KL50_26112022_PIALA_MALAYSIA_2022-lpr-960x659

Selangor FC dikecewakan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.

Sejak kejayaan tersebut, skuad Gergasi Merah hampir menjulang trofi sebanyak dua kali, iaitu ketika mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA 2018 dan Piala Malaysia 2022.

Musim ini, usaha Selangor FC untuk menamatkan penantian itu digagalkan Johor Darul Takzim (JDT) yang menyingkirkan mereka di peringkat separuh akhir Piala FA.

Dalam saingan Piala Malaysia pula, kemaraan skuad Gergasi Merah disekat finalis, Terengganu FC di peringkat suku akhir, sekali gus meneruskan kemarau mereka.

Hasrat tersebut dilihat mampu dicapai dengan pasukan kendalian Cheng Hoe ketika ini mempunyai potensi untuk terus memberi saingan saban musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram