Nafuzi Zain kembali dirisik tapi pilih kekal bersama Sang Kenari


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Nafuzi membantu skuad Sang Kenari kembali ke landasan meskipun sedikit bergelut dalam Piala FA dan Piala Malaysia musim ini. — Facebook/KDA FC

MEMASUKI penghujung musim 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC berpeluang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Kedudukan tersebut adalah lebih baik berbanding musim lalu apabila skuad Sang Kenari berada di tangga kelapan dalam tempoh setahun yang berbolak-balik di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.

Skuad Sang Kenari yang mencatatkan 17 kemenangan dan dua keputusan seri daripada 25 perlawanan sememangnya boleh berpuas hati dengan prestasi pasukan.

Meskipun tersingkir awal daripada Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup, pasukan Utara tanah air tersebut seperti tidak mempunyai sebarang isu konsistensi dalam Liga Super.

Perkara itu dilihat berpunca daripada kehadiran ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak tanah air selepas pernah membantu Terengganu FC musim lalu.

KUALA NERUS, 21 Nov -- Penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) menaikkan kain rentang memaparkan wajah Ketua Jurulatih pasukan itu Nafuzi Zain, selepas kontraknya bersama pasukan itu berakhir hujung bulan ini pada aksi Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia 2022 menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.Selangor FC akan bertemu dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Terengganu FC dengan agregat 3-2.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nafuzi memiliki hubungan cukup baik dengan penyokong Terengganu FC.

Dia yang diangkat antara pengendali tempatan terbaik berjaya meneruskan reputasi cemerlangnya apabila membantu KDA FC kembali ke landasan yang tepat.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul khabar angin bahawa jurulatih berusia 45 tahun itu sedang dirisik skuad Sang Penyu untuk musim 2024/25.

Menurut ciapan wartawan tanah air, T Avineshwaran, Nafuzi serta pasukan kejurulatihannya berpeluang untuk sekali lagi mempamerkan kebolehannya bersama kelab Pantai Timur itu.

"Difahamkan Terengganu sedang dalam usaha untuk mendapatkan semula khidmat Nafuzi. Tetapi, dia difahamkan mahu kekal bersama KDA FC dan meneruskan usaha yang sedang dilakukannya," tulisnya.

Meskipun tidak mendedahkan punca di sebalik khabar angin itu, masalah kewangan yang mungkin dihadapi KDA FC boleh dianggap sebagai salah satu faktor terbesar.

1985565 (1)

Tomislav bergelut untuk membantu skuad Sang Penyu menduduki kedudukan lebih baik dalam Liga Super. Facebook/Terengganu FC

Musim ini, skuad Sang Penyu dikendalikan jurulatih dari Croatia, Tomislav Steinbruckner yang berdepan isu konsistensi di peringkat domestik.

Mereka yang mencapai peringkat akhir Piala Malaysia dan separuh akhir Piala FA gagal meneruskan rentak tersebut dalam saingan Liga Super dengan pasukan itu kini berada di tangga keenam.

Kepulangan Nafuzi dilihat sememamngnya dialu-alukan memandangkan jurulatih tersebut membawa Terengganu FC ke tahap baharu sepanjang tiga musim bersama pasukan berkenaan.

Dia sebelum ini memilih untuk menyertai KDA FC selepas enggan melanjutkan kontrak dengan difahamkan berlakunya salah faham antaranya dengan pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram