PEMAIN muda pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Feroz Baharudin menjadi wira buat Harimau Selatan untuk merangkul trofi Piala Malaysia 2023 selepas menundukkan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam perlawanan itu, Feroz masuk sebagai pemain gantian Shane Lowry dan tidak mengambil masa yang lama untuk menjaringkan gol menerusi tandukan padu pada separuh masa kedua menentang anak-anak buah Tomislav Steinbruckner.
Selain Feroz, dua tonggak utama JDT, Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi turut merekodkan nama sebagai penjaring menerusi sepakan penalti di awal dan akhir minit permainan.
Ia sekali gus, membantu JDT melakar sejarah baharu iaitu menyamai rekod Kedah Darul Aman pada 2007-2008 iaitu 'double treble' yang tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan sebelum itu.
Feroz menjadi wira buat JDT apabila menjaringkan gol kebangkitan Harimau Selatan. — Facebook/JDT
Selepas perlawanan, Feroz mengakui sudah bermimpi akan menjaringkan gol kemenangan JDT meskipun tidak bermula dalam kesebelasan utama pasukan.
"Saya sebenarnya tidur malam semalam (Khamis), saya telah mimpi sebenarnya. Jujur saya cakap saya mimpi menjaringkan gol.
"Saya tahu, saya tidak bermula sebagai kesebelasan utama untuk hari ini tapi saya bersyukur masuk di 'second-half' dan menjaringkan gol dan jaringan itu adalah kemenangan," katanya kepada Safee Sali selepas tamat perlawanan.
Feroz juga sempat memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana membimbingnya menjadi pemain yang terbaik buat Harimau Selatan.
"Pertama kali saya tidak dapat berkata, apa-apa dengan jaringan saya, sebab tidak betul-betul sangka dengan apa yang jadi hari ini (Jumaat).
"Saya anggap ini adalah rezeki untuk saya dan saya nak berterima kasih dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana beliau adalah pembimbing saya sampai ke tahap ini," jelasnya.
Feroz (kiri) berjaya melakukan tugas dengan baik menjaga benteng pertahanan JDT. — Facebook/JDT
Ditanya oleh Datuk Zainal Abidin Hassan sewaktu dipanggil oleh Esteban Solari untuk menggantikan Shane Lowry pada separuh masa kedua, Feroz merasakan dia sudah bersedia 200 peratus dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan itu.
"Saya rasa bila coach (Solari) panggil 'second-half', untuk persiapkan saya.
"Saya dah set mental 150-200 peratus dan saya dapat skor saya betul-betul yakin dengan apa situasi sekali pun saya dapat menjaringkan gol," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram