[VIDEO] Jojo Ghazali terima kontrak lumayan One Championship selepas tumbangkan peninju Rusia


  • Podium
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Johan berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship.

PENINJU Muay Thai negara, Johan Ghazali berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai lebih RM400,000 (AS$100,000).

Terdahulu, atlet berusia 16 tahun itu berjaya meraih kontrak berkenaan selepas menundukkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam ONE Friday Fights 36, pada Jumaat.

Dalam pertarungan sengit itu, Johan Ghazali atau JoJo Ghazali berjaya melepaskan tumbukan bawah ke arah dada Bekmurzaev.

Jojo memenangi perlawanan tersebut secara 'knock out' pada pusingan kedua.

Lebih menarik, Jojo turut membawa pulang hadiah kemenangan bernilai lebih RM44,000 (350,000 Baht).

Mengulas mengenai kontrak yang berjaya dimilikinya, Jojo ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira.

"Ini gila, saya akan memasuki usia 17 tahun pada bulan hadapan (November). Saya mendapat kontrak ONE Championship sebelum saya memiliki lesen memandu, jadi ini sangat gila,” katanya.

Dengan kejayaan itu, Jojo menjadi atlet peninju termuda yang berjaya mendapatkan kontrak ONE Championship.

Menurut laman sesawang ONE Championship, Jojo Ghazali merupakan peninju Muay Thai Malaysia-Amerika yang mewakili kelab Rentap Muaythai Gym.

Dia mempunyai darah campuran melalui ayahnya, warga Malaysia dan ibunya yang berasal dari Amerika Syarikat.

Jojo dilahirkan di Malaysia yang mana dia menghabiskan usia mudanya bersekolah di Sarawak.

Beliau memiliki rekod bersih kemenangan 4-0 sepanjang kariernya bersama kejohanan tersebut.

Selain Bekmurzaev, lawan lain yang pernah ditewaskannya sebelum ini adalah Samurai Seopal, Tai Sor Jor Piek Uthai dan Padetsuk Fairtex. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram