Bagi alasan ada pendamping, remaja jadi mangsa rogol jurulatih tomoi


  • 112
  • Selasa, 17 Okt 2023

Suspek ditahan polis di tempat latihan Muay Thai di kawasan Batu Berendam, Melaka pada Selasa.

SEORANG pelajar tingkatan empat didakwa dirogol sebanyak empat kali oleh jurulatih Muay Thai berusia 50 tahun dengan alasan untuk membebaskannya daripada ilmu hitam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu mendakwa badan mangsa didampingi oleh makhluk halus.

Menurutnya, suspek datang ke rumah mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik pada Ogos lalu bagi merawat ibu saudara mangsa yang dipercayai mengalami gangguan sihir.

"Namun setelah melihat mangsa, suspek yang mendakwa mempunyai kepakaran dalam perubatan tradisional memberitahu kepada ibu mangsa berusia 48 tahun bahawa dia ingin mengubati mangsa yang dikatakan mempunya pendamping pada badannya.

"Suspek dipercayai membawa mangsa bersama ibu dan bapa saudara mangsa ke kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Cheng bagi tujuan mengubatinya.

"Suspek kemudian menyuruh ibu dan bapa saudara mangsa pergi membeli makanan dan meninggalkan mangsa bersama suspek berdua di kawasan semak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, suspek didakwa menggunakan kesempatan itu untuk merogol mangsa dan memberi amaran kepadanya agar tidak menceritakan hal tersebut kepada sesiapa pun.

Ujarnya lagi, mangsa juga dipercayai takut untuk memberitahu tentang kejadian sebenar kepada orang lain.

Menurut Zainol, sejak dari itu suspek sering datang ke rumah mangsa untuk tujuan mengubati mangsa dan dalam tempoh itu juga mangsa mendakwa telah dirogol sebanyak empat kali oleh suspek di lokasi berlainan.

"Mangsa mendakwa dirogol suspek sejak Ogos hingga Oktober sebelum dia memberanikan diri membuat laporan polis.

"Suspek ditahan polis pukul 4.30 pagi pada Selasa di tempat latihan Muay Thai di kawasan Batu Berendam dan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Sementara itu, Majistret Mahkamah Melaka, Khairunnisak Hasni, mengeluarkan perintah reman kepada suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan selama tujuh hari bermula pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram