'Buat kerja orang tak nampak, bila blah mula rindu', ramai samakan nasib Brendan Gan seumpama ex bintang Arsenal


  • Podium
  • Khamis, 23 Nov 2023

Brendan Gan (kanan) masih beraksi untuk Malaysia walaupun sudah berusia 35 tahun. — Facebook/FAM

SETIAP kali Harimau Malaya turun beraksi, pastinya akan ada pertikaian dalam kalangan penyokong mengenai pemilihan pemain.

Lazimnya, pemain-pemain yang jarang beraksi dalam saingan Liga Super akan menjadi sasaran kritikan. Sebagai contoh, Junior Eldstal, Akhyar Rashid serta Safawi Rasid.

Namun begitu, nama-nama tersebut berjaya membuktikan kepada kita semua yang mereka tetap ada fungsinya dan Kim Pan-gon tidak salah dalam membuat pilihan.

Selain itu, terdapat satu lagi nama yang turut tidak lari daripada kritikan apabila beraksi untuk Malaysia iaitu Brendan Gan.

Ketua pasukan Selangor FC itu mula dilabel sebagai tidak relevan, tua dan tiada fungsinya ketika beraksi bersama Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 menentang Republik Krgyz dan Chinese Taipei.

Gan beraksi selama 60 minit bertemu Republik Krgyz serta 14 minit semasa menentang Chinese Taipei.

404119042_1047441282995774_2047850683475843213_n

Brendan Gan masih lagi jadi sandaran beraksi di bahagian tengah Malaysia. — Facebook/FAM

Pemain berusia 35 tahun itu tidak boleh dikritik kerana kekurangan minit bermain. Hal ini kerana, Gan sudah beraksi sebanyak 20 kali dalam Liga Super sambil mencatatkan dua gol serta lapan bantuan jaringan.

Walaupun terdapat penyokong yang meragui sumbangan Gan terhadap Harimau Malaya, tetapi tetap ada mengakui pemain itu masih lagi penting untuk skuad kebangsaan.

Gan mungkin watak utama dalam urusan Malaysia mendapatkan gol, tetapi kehadirannya dapat membantu bahagian tengah sentiasa terkawal ketika perlawanan. Malah, ada yang menyamakan pemain kelahiran Australia ini seperti bekas bintang Arsenal iaitu Granit Xhaka.

"Dia ni sebijik macam Granit Xhaka dalam Arsenal, buat kerja yang orang tak nampak. Bila dia dah tak ada mulalah ayat 'rindu orang ni, orang itu', biasalah manusia," kata penyokong bernama Bobby Nad Aby Nai.

"Kapten Brendan Gan tetap padu. Komitmen dia kepada Selangor dan skuad kebangsaan tetap tinggi. Kalau tak, takkan Kim Pan-gon pilih dia dalam skuad kebangsaan," ujar Mon Ra.

Ada yang berpendapat, faktor usia memainkan peranan kenapa Gan seakan mula perlahan dan prestasinya tidak sehebat dulu.

Walaupun tidak sehebat dulu, tetapi Gan tetap membuktikan dirinya masih lagi relevan untuk beraksi bersama-sama Malaysia.

"Diakui dia sudah mula slow tetapi bukan tak relevan. Semangat dia dan kehadiran dia atas padang sebagai ketua pasukan sangat diperlukan," kata penyokong bernama Jef.

"Brendan Gan ni lebih kurang macam Safiq Rahim, bukan tak bagus tapi faktor usia buatkan dia tak sehebat dulu. Bagi aku untuk dia (main) sebagai supersub bolehlah masih tip top. Tapi kalau nak guna untuk first eleven kurang sikit bagi jentera tengah lagi-lagi main di tahap Asia ni," komen Kasut Baraii. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram