MALAYSIA menamatkan persembahan bola sepak antarabangsa untuk tahun 2023 dengan nota cemerlang apabila menang dua perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Menang ke atas Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei meletakkan Harimau Malaya selesa mendahului kumpulan D dan momentum berada pada tahap tertinggi menjelang Piala Asia 2023 pada Januari 2024.
Walaupun berada dalam keadaan baik, namun masih terdapat kekurangan dalam persembahan Harimau Malaya iaitu dari segi kualiti serangan.
Persembahan oleh Arif Aiman dan Faisal Halim mungkin dilihat baik, tetapi masih lagi ada yang boleh dibaiki oleh Kim Pan-gon untuk pastikan Malaysia betul-betul berbahaya apabila di Qatar kelak.
Persembahan Arif Aiman (jersi kuning) sentiasa mantap tetapi serangan Malaysia masih perlu ditambah baik. — Facebook/FAM
Menurut penganalisis sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, dia berpendapat Pan-gon tidak boleh terlalu berharap kepada gandingan Arif, Faisal serta Darren Lok semata-mata.
"Ketajaman barisan hadapan Harimau Malaya memang perlu dimantapkan. Saya sangat bersetuju jika Pan-gon mempunyai lebih banyak pilihan di barisan depan.
"Kita bukan kata barisan depan Harimau Malaya tu tumpul tetapi daripada dua perlawanan menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei barisan hadapan kita diakui kurang tajam," kata Pekan kepada Majoriti.
Darren (tengah) menjadi penyerang semula jadi tunggal dalam skuad Malaysia. — Facebook/FAM
Pekan juga mengatakan yang terdapat masalah link-up play antara dua pemain sayap tersebut dengan penyerang utama. Oleh itu, perkara itu perlu diselesaikan Pan-gon demi menguatkan serangan Malaysia.
"Gandingan Arif Aiman dan Faisal Halim memang mantap dan sangat mengancam benteng lawan terutama pergerakan dari sebelah kanan dan kiri. Namun seperti tidak wujud keserasian dengan penyerang tengah yang kerap tersasar ke depan atau ke belakang dan deria menghidu keberadaan bola yang melintang di depan pintu gol gagal dibaca dan kerap terlepas begitu saja.
"Setakat ini Darren Lok agak positif dan pilihan terbaik yang Pan-gon ada, tetapi lebih baik kita ada penyerang kedua yang boleh dijadikan alternatif.
"Saya percaya Pan-gon tahu kelemahan ini, sudah pastilah tumpuan sekarang kepada bahagian ini menjelang final Piala Asia Januari nanti," tambah Pekan lagi.
Dengan berakhirnya perlawanan bola sepak antarabangsa untuk tahun ini, Pan-gon sudah pasti sudah mempunyai senarai pemain yang hendak dipanggilnya untuk Piala Asia 2023.
Mungkin pengendali dari Korea Selatan itu boleh mempertimbang membawa seorang lagi penyerang semula jadi (natural striker) sebagai pilihan kedua selain Darren. Mungkin nama Syafiq Ahmad boleh diletakkan dalam senarai.
Tetapi itu semua terpulang kepada pilihan Pan-gon mengenai pemain manakah hendak dibawanya ke Qatar kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram