PEMAIN pertahanan Manchester United, Harry Maguire sering menjadi subjek kepada kritikan hebat pengikut bola sepak dunia dek kerana aksi hambarnya.
Sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang kemudiannya mendorong kepada kekalahan United, prestasi Maguire bukan saja 'dibahan' oleh penyokong tetapi ahli politik tidak juga ketinggalan melakukan perkara sama.
Sebelum ini, seorang ahli politik dari Ghana, Isaac Adongo secara terbuka mengutuk Maguire dalam sidang parlimen negara tersebut.
Adongo menjadikan Maguire sebagai perumpamaan untuk menyerang Naib Presiden Ghana, Mahamudu Bawumia terhadap cara pengurusan ekonomi negara tersebut.
"Harry Maguire, dia adalah pemain pertahanan. Dia membentes setiap pemain dan melayangkan badannya ke mana-mana saja.
"Dia telah menjadi ancaman terbesar di bahagian pertahanan tengah Manchester United, membentes rakan sepasukan dan memberikan bantuan gol kepada pihak lawan.
"Tuan Speaker, anda harus ingat di negara ini juga ada Maguire versi ekonomi (merujuk kepada Bawumia)," kata Adongo pada Disember 2022.
Selepas hampir setahun, Adongo akhirnya sedar dengan kesilapannya itu lalu menjadikan parlimen sebagai tempat dia memohon maaf kepada Maguire atas perbuatannya.
"Tuan Speaker, saya mohon maaf kepada Harry Maguire. Dia kini sudah menjadi pemain bola sepak yang bertransformasi.
"Dia kini sudah menjaringkan gol untuk Manchester United. Maguire telah menjadi pemain utama untuk kelabnya," ujar Adongo dalam video yang tular di Twitter (X).
Permohonan maaf Adongo itu mendapat respons oleh Maguire dan dia sedia menerima kehadiran ahli politik tersebut di Old Trafford.
"Issac Adongo, permohonan maaf diterima. Jumpa nanti di Old Trafford," komen Maguire. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram