SELEPAS penyokong bola sepak Malaysia dihidangkan dengan persembahan cemerlang dalam siri kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027, tumpuan kembali terarah kepada aksi Liga Super.
Berbaki tiga perlawanan untuk dihabiskan, tumpuan aksi pastinya akan tertumpu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak apabila Terengganu FC berdepan Sabah FC pada Jumaat.
Pertemuan dua wakil negara di Piala AFC tersebut pastinya menarik terutamanya dari perspektif Sabah kerana mereka mempunyai bintang-bintang yang menyinar bersama Harimau Malaya.
Analisis ringkas Majoriti kali ini akan menceritakan bagaimana bintang-bintang HM Sabah boleh membuatkan Terengganu 'gigit jari' di laman sendiri:
Momentum Darren Lok
Darren Lok merupakan penyerang utama Harimau Malaya ketika ini. Setiap kali Malaysia beraksi, namanya pastinya akan mengetuai serangan selain Arif Aiman dan Faisal Halim.
Dalam dua aksi kelayakan bertemu Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei, Darren hanya menjaringkan satu gol untuk Malaysia tetapi ia sangat penting buat negara.
Darren Lok (tengah) menjaringkan gol kemenangan dalam aksi bertemu Chinese Taipei. — Facebook/FAM
Gol tunggal ketika bertemu Chinese Taipei memberikan impak besar buat misi Malaysia untuk ke Piala Dunia. Sudah pasti, jaringan itu cukup signifikan kepada Harimau Malaya dan juga Darren sendiri.
Pulang ke Malaysia dengan momentum hebat, pastinya Darren mempunyai semangat membara untuk menggegar gawang Terengganu pula.
Sokongan rakan sepasukan
Lok mungkin mencuri tumpuan dengan persembahan cemerlangnya terutamanya sewaktu bertemu Chinese Taipei. Tetapi, jangan lupa rakan-rakannya yang lain.
Stuart Wilkin dan Dominic Tan antara pemain Sabah yang memainkan peranan dalam kedua-dua kemenangan Malaysia. Wilkin terutamanya, adalah pemain Sabah yang beraksi dalam setiap minit bagi kedua-dua perlawanan tersebut.
Wilkin (jersi kuning) beraksi penuh dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia. — Facebook/FAM
Dominic pula beraksi sebahagian besar aksi bertemu Republik Kyrgyz sementara Daniel hanya melakukan cameo dalam perlawanan sama. Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan ketika menentang Chinese Taipei.
Oleh itu, Terengganu tidak boleh terlalu fokuskan Darren sahaja tetapi Wilkin, Dominic dan Daniel perlu difokuskan pergerakan mereka juga.
Tetapi, Steinbruckner ada rancangan lain
Walaupun momentum empat pemain Sabah dijana dengan baik hasil persembahan mereka bersama Malaysia, itu tidak bermakna Terengganu akan tunduk mudah kepada ancaman kuartet Sang Badak ini.
Sang Penyu menerusi pengendali mereka, Tomislav Steinbruckner pastinya mempunyai perancangan tersendiri untuk menyekat kemaraan Sabah dan menghalang mereka membawa pulang tiga mata.
Dominic Tan beraksi lebih sejam dalam perlawanan bertemu Republik Kyrgyz. — Facebook/FAM
Beraksi di laman sendiri, Terengganu pasti mempunyai kelebihan. Steinbruckner semestinya akan menggunakan gandingan pertahanan tempatan untuk menghalang kemaraan Sabah ke pintu gol mereka.
Di bawah kendalian Steinbruckner, Terengganu dilihat sebagai pasukan yang tiada masalah untuk bertahan. Sudah pasti dengan sokongan padu penyokong sendiri, gawang skuad Penyu akan jadi lebih kebal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram