MUSIM ini, Sri Pahang FC telah meminjam empat pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) bagi menguatkan skuad mereka.
Izham Tarmizi, Fadhli Shas, Syazwan Andik serta Azrif Nasrulhaq kesemua beraksi untuk Tok Gajah musim ini dan telah memberikan persembahan positif buat skuad kendalian Fandi Ahmad.
Kini menghampiri musim, kesemua empat-empat pemain akan tinggalkan Stadium Darul Makmur, Kuantan dan kembali ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Siapakah akan isi kekosongan mereka?
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap empat nama yang boleh menggantikan kuartet JDT di Sri Pahang.
Azrif antara empat pemain JDT dipinjam oleh Sri Pahang. — Facebook/Sri Pahang FC
1. Rahadiazli Rahalim
Setahun lalu, nama Rahadi mula disebut-sebut sebagai generasi baharu penjaga gol negara. Berbadan tegap dan tinggi serta tangkas, Rahadi mempunyai segalanya.
Namun itu semua berubah selepas dia mengalami kecederaan di kepala. Kecederaan itu membuatkan Rahadi tidak lagi beraksi hebat seperti sebelumnya dan mula dijadikan penjaga gol pilihan kedua bersama Terengganu FC di belakang Suhaimi Husin.
Rahadi perlu keluar dari Terengganu untuk mendapatkan minit serta prestasinya semula dan Sri Pahang boleh menjadi destinasi buat pemain tersebut.
Jika ke Sri Pahang, ia sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Izham.
Rahadi boleh dapatkan prestasinya dengan sertai Sri Pahang. — Facebook/Terengganu FC
2. Rodney Celvin
Pemain pertahanan tengah dari Sarawak ini telah meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum musim Liga Super 2023 berakhir.
Dengan Rodney masih tiada lagi kelab untuk diwakili pada musim depan, Sri Pahang boleh mencuba nasib dengan mendapatkannya bagi menguatkan benteng pertahanan.
Rodney kini tidak mempunyai kelab. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Jika berhasil mendapatkan Rodney, mereka bukan saja memperolehnya secara percuma bahkan pemain tersebut bakal sertai Sri Pahang secara kekal.
Ia akan membantu Sri Pahang mengisi tempat ditinggalkan oleh Fadhli kelak.
3. Azrin Afiq
Pemain pertahanan kiri Selangor ini boleh dijadikan sebagai pilihan bagi menyelesaikan tempat ditinggalkan oleh Syazwan.
Dipinjamkan ke KDA pada musim ini, Azrin boleh terus mendapatkan pengalaman beraksi di Liga Super dengan menyertai Sri Pahang secara pinjaman.
Dengan Tan Cheng Hoe lebih gemar menggunakan Fazly Mazlan dan V. Ruventhiran pun sukar untuk mendapatkan minit permainan, adalah lebih elok Azrin ke Darul Makmur bagi mematangkan permainannya.
Mana tahu, musim 2024/2025 bakal menjadi musim gemilang Azrin bersama dengan Tok Gajah?
4. Syahmi Safari
Jika Sri Pahang masih lagi mahu menjadikan JDT sebagai destinasi pilihan mendapatkan pemain, mereka mungkin boleh dapatkan Syahmi sebagai pemain.
Syahmi yang juga sering mendapat minit terhad bersama JDT, boleh menjadikan Sri Pahang sebagai peluang untuk menghebatkan lagi permainannya.
Syahmi boleh menjadi pilihan Sri Pahang untuk isi pemergian Azrif. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Pemain Harimau Malaya itu sudah diakui kebolehannya, tetapi dengan minit permainan yang lebih, Syahmi dapat meningkatkan lagi kualitinya sekali gus memberi manfaat buat Sri Pahang dan skuad kebangsaan.
Jika Tok Gajah mendapatkan Syahmi, mereka dapat mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Azrif pada musim ini di bahagian pertahanan kanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram