'Look at my face...' apa lagi Hans Isaac boleh jawab lepas dikecam satu Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Tiada kata-kata dapat menggambarkan kekecewaan Hans apabila padang SNBJ dilihat cukup teruk menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada Jumaat.

MASA semakin hampir dengan sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Takzim (JDT) dengan Terengganu FC pada Jumaat.

Di saat semua sepatutnya teruja dengan pertarungan taktikal, siapakah yang bakal menyerlah ketika perlawanan dan kemeriahan suasana, aksi akhir kali ini dibayangi masalah rumput padang.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjadi sasaran kecaman penyokong kerana kegagalan untuk menyediakan padang terbaik menjelang perlawanan terbesar bola sepak tempatan tahun ini, lapor Stadium Astro.

hans isaac

Perkongsian Hans di InstaStory beliau pada Khamis.

Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom terserempak dengan Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Berikut tulisan Fina di platform Stadium Astro.

Kurang 24 jam sebelum sepak mula .... Bila bercakap tentang final, segala ayat hebat akan keluar dari kotak fikiran.

‘Prestij, gempak, power, all-out, meriah’.

Berbeza benar dengan final Piala Malaysia kali ini, segala-galanya menjadi persoalan apabila keadaan padang menjadi topik perbualan.

Perkara utama yang berlegar di fikiran, mampukah kedua-dua pasukan pamer aksi terbaik mereka demi merebut sebuah piala?

Menjadikah perancangan dan taktikal kedua-dua pasukan dengan bantuan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang tidak segah nama?

Sanggupkah pemain pemain Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu berdepan dengan risiko kecederaan menerusi kondisi padang tidak sekata selain dari rumput yang diandaikan seperti ‘sehelai jeans lusuh’ oleh akhbar tempatan Malaysia ?

‘The pitch is so bad.’

Itulah kesimpulan mudah difahami yang membabitkan reaksi dua pengendali yang bakal menabur rencah, perisa, mahupun resipi rahsia menjelang aksi final pada Jumaat namun hakikat yang perlu di fahami, harganya begitu mahal untuk dirunding.

Pertaruhan mereka adalah pemain!

Riak wajahnya pelbagai. Sebal mungkin, kesal mungkin. Cuba menyapa sekadar berbasi basi.

‘All good Datuk?’

‘Look at my face..‘

Senyuman kami bertaut, dia berlalu pergi.

Kelat terasa sehingga ke ulu hati.

jdt

Sebahagian sesi latihan skuad JDT di SNBJ menjelang final Piala Malaysia pada Jumaat — Facebook/Johor Southern Tigers

Demikian tulis Fina di platform Stadium Astro. Tiada apa-apa lagi yang boleh menggambarkan kekecewaan Hans apabila dikecam satu Malaysia gara-gara masalah padang SNBJ.

Malah, dia juga hanya memuat naik gambar di InstaStory tanpa sebarang kapsyen pada Khamis ketika pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim meninjau sendiri permukaan padang yang benar-benar merisaukan, kelak mencederakan pemain khususnya bintang Harimau Malaya yang bakal beraksi di pentas Piala Asia tahun depan.

Hanya Hans yang tahu betapa dia juga kecewa seperti mana rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram