Kontrak tamat tempoh, duo KL City pilih ke Perak atau Selangor?


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Paulo Josue dianggap sebagai "Mr Kuala Lumpur" kerana kesetiaannya terhadap KL City. — Facebook/KL City

PERJALANAN Liga Super bagi musim 2023 masih belum berakhir dengan majoriti pasukan mempunyai satu lagi perlawanan untuk dihabiskan sementara segelintir terdapat baki dua aksi.

Antara pasukan yang masih mempunyai dua perlawanan untuk dihabiskan adalah Kuala Lumpur (KL) City FC. Skuad Lembah Klang itu perlu berdepan Kuching City FC pada 10 Disember sebelum menamatkan saingan bertemu Sri Pahang FC, enam hari kemudian.

Namun, timbul kegusaran dalam kalangan penyokong skuad Warga Kota apabila kontrak dua pemain utama kelab itu sebenarnya sudah tamat tempoh.

Dalam perkongsian di X (Twitter), sebuah akaun penyokong KL City telah membangkitkan kegusaran kerana kontrak ketua pasukan, Paulo Josue dan pemain tengah, Zhafri Yahya sudah tamat pada 30 November lalu.

"Dua baki perlawanan Liga Super untuk KL City tanpa pemain yang tamat kontrak?," soal akaun Supporter of Kuala Lumpur United.

406222949_18243405001237328_6827997347085218992_n

Zhafri juga sudah tamat kontrak bersama KL City 30 November lalu. — Facebook/KL City

Kegusaran tersebut timbul kerana jika kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Super pada Disember, KL City akan tempang dalam misi mendapatkan enam mata berharga daripada dua perlawanan.

Bukan setakat Josue dan Zhafri, kontrak seorang lagi pemain tengah iaitu Kenny Pallraj juga sudah tamat dengan ia luput pada tarikh sama.

Sehingga kini, masih lagi belum ada tindakan daripada KL City mengenai keputusan sama ada untuk memberikan kontrak baharu kepada ketiga-tiga pemain tersebut atau tidak.

Jika tiada seberang tindakan diambil, ia meletakkan KL City dalam bahaya kerana Josue, Zhafri dan Kenny boleh disambar oleh mana-mana kelab pada bila-bila masa.

Peluang kembali ke kelab lama?

Dengan kontrak ketiga-tiga pemain tersebut bersama KL City sudah tamat, ia telah membuka jalan kepada kelab lain untuk menyambar khidmat mereka.

Pastinya khidmat Josue, Zhafri serta Kenny pasti akan menjadi rebutan memandangkan kualiti yang ada pada mereka tidak boleh disangkal.

406237341_18243177997237328_4050697597671715062_n

Kenny bakal kembali ke Perak? — Facebook/KL City

Pasukan yang mempunyai tiket beraksi bola sepak Asia seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC boleh cuba untuk mendapatkan pemain seperti Josue kerana faktor pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa serta statusnya sebagai naturalisasi.

Zhafri juga boleh mencuba untuk kembali ke musuh tradisi KL iaitu Selangor. Mungkin sudah tiba masa peluang kedua diberikan oleh Gergasi Merah kepada Zhafri memandangkan dia merupakan bekas pemain remaja Selangor.

Kenny juga disebut-sebut bakal pulang semula ke negeri kelahirannya dengan Perak FC menjadi destinasi. Kenny yang mempunyai perniagaan kambing di sana pasti mahu berada lebih dekat supaya boleh memberikan fokus kepada perkara itu sambil kekal beraksi dalam Liga Super.

Namun begitu, ketiga-tiga pemain tersebut cukup berharga untuk KL City. Apa yang pasti, mereka perlu pantas membuat keputusan atau skuad Warga Kota akan kecewa menggigit jari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram