Fadhil akui TFC lakukan 'kerja rumah' atasi isu padang, bagi 'hint' Tomi kekal


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Fadhil (kiri) akui Terengganu perlu buat persiapan lebih untuk bermain di Bukit Jalil. — Facebook/Terengganu FC

JELAS sekali, perlawanan akhir Piala Malaysia melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Terengganu FC pada Jumaat tidak lagi berkisarkan mengenai pertarungan taktikal antara Esteban Solari dan Tomislav Steinbruckner. Tetapi ia lebih tertumpu kepada isu lain yang tidak disangka oleh semua pihak.

Segala kemeriahan serta keterujaan yang sepatutnya terpancar menjelang sepak mula perlawanan akhir tersebut terus dibayangi dengan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak siap mengikut masa.

Rumput tersebut begitu teruk dengan kekecewaan jelas terpancar kepada penyokong bola sepak tempatan terutamanya dua pasukan bertanding. Malah, pihak pasukan turut berasa sedemikian kerana sudah terlewat untuk Malaysian Football League (MFL) menukar lokasi perlawanan.

Bukan setakat kecewa, malah pasukan turut berada bimbang dengan keadaan padang yang menepati standard diharapkan. Namun menurut pengurus Terengganu, Fadhil Wahab, mereka bersedia dengan segala kemungkinan.

392861074_341408651933909_227887462363728849_n

Terengganu menjalani latihan rasmi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. — Facebook/Terengganu FC

Menurut pengurus yang popular dalam kalangan penyokong skuad Penyu itu, Terengganu tetap berada dalam keadaan bersedia walaupun bakal berdepan situasi sukar di Bukit Jalil.

Malah dia juga tidak menolak kemungkinan rentak permainan akan berubah kerana kualiti padang terlalu berbeza dengan keadaan biasa.

"ALHAMDULILLAH, kita lebih bersedia untuk pentas akhir kali ini.

"Memang benar, faktor keadaan padang amat penting dalam setiap perlawanan. Sudah pasti, (ia) sedikit sebanyak akan menjejaskan rentak perlawanan," kata Fadhil kepada Majoriti.

Fadhil yang secara terbuka mengakui Terengganu perlu melakukan persiapan tambahan kerana tidak boleh menduga keadaan padang akan merencatkan rentak permainan.

Dia yakin bukan saja Terengganu, tetapi JDT turut risau dengan keadaan padang Bukit Jalil bakal mengubah skrip perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan.

"Sudah pasti, kita perlu buat persiapan teknikal dan taktikal yang lebih rapi selain daripada bersedia mengenai sebarang kemungkinan yang akan berlaku disebabkan padang.

"Bukan kami saja yang risau, pihak lawan pun sama," ujar Fadhil.

408193403_341408545267253_5749270319287119165_n

Steinbruckner dijangka akan kekal di Terengganu pada musim depan. — Facebook/Terengganu FC

Dalam pada itu, Fadhil turut mengatakan masih belum ada sebarang keputusan oleh pihak kelab berkenaan bonus buat para pemain sekiranya berjaya memenangi Piala Malaysia.

Dia menyerahkan kepada pihak atasan kelab untuk menentukan sama ada bonus itu akan diberikan atau tidak.

Selain itu, Fadhil memberikan isyarat jelas yang Terengganu mahu mengekalkan Steinbruckner sebagai pengendali pasukan hasil daripada persembahan baik pada musim pertamanya.

"Ya. (Kontrak) akan diuruskan selepas perlawanan akhir nanti," Fadhil menjawab dengan ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram