KALAH dan menang itu adalah satu perkara biasa dalam bola sepak. Itu yang menjadikan sukan ini sentiasa indah bagi setiap peminatnya.
Bola sepak juga boleh membuatkan seseorang itu kecewa apabila kalah. Kekecewaan itu akan bertambah parah apabila sesebuah pasukan tersebut tersingkir jatuh ke liga bawahan.
Bagi pasukan yang sudah lali dengan situasi turun naik liga, ia mungkin perkara biasa buat mereka. Tapi bagaimana dengan pasukan yang tidak pernah turun liga? Pasti rasa macam nak berakhir dunia ini!
Inilah yang dirasai oleh penyokong-penyokong kelab Brazil, Santos, apabila buat pertama kali dalam sejarah kelab, mereka terpaksa turun ke saingan kedua negara tersebut.
Hal tersebut terjadi selepas mereka tersingkir daripada saingan utama Brazil dengan nasib malang itu disahkan oleh Fortaleza pada aksi terakhir liga.
Para pemain Fortaleza meraikan gol ketika bertemu Santos. — Facebook/Fortaleza Esporte Clube
Lebih teruk, nasib malang itu disahkan betul-betul pada penghujung perlawanan dengan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Juan Martin Lucero menghasilkan gol kemenangan untuk membolehkan Fortaleza menang 2-1.
Kekalahan kepada Fortaleza mengesahkan Santos tersingkir ke saingan divisyen dua Brazil buat pertama kali dalam sejarah 111 tahun kelab tersebut. Mereka tersingkir bersama-sama tiga lagi kelab iaitu Golas, Coritiba dan America-MG.
Selepas tamatnya perlawanan, penyokong-penyokong Santos yang kecewa dengan realiti pahit itu melepaskan kemarahan mereka terhadap kelab dengan melakukan keganasan di luar stadium.
Rakaman di X (Twitter) menunjukkan penyokong-penyokong Santos melepaskan kemarahan mereka dengan merosakkan harta benda awam di jalanan.
Mereka merosakkan harta benda dengan membakar harta benda awam termasuklah kereta yang diletakkan dekat bahu jalan.
Selain itu, terdapat juga tiang lampu yang tumbang serta letupan mercun dilakukan ketika situasi kecoh di luar stadium mereka selepa perlawanan tamat.
Namun begitu, tiada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan hasil daripada suasana kecoh tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram