PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) mengakui kekhilafan mereka dalam menguruskan hal rumput Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang tidak memuaskan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Terengganu FC.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, PSM secara terbuka memohon maaf kepada semua yang terlibat akibat kekurangan daripada pihak mereka berikutan isu padang.
"Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 dan semua para peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan Johor Darul Takzim FC, Terengganu FC serta penyokong kedua-dua pasukan.
"(Ia) atas keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan bagi berdepan dengan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung pada 8 Disember 2023," kata PSM dalam kenyataan mereka.
PSM turut mengakui yang mereka kekurangan masa dalam menyiapkan padang untuk perlawanan akhir tersebut. Menurut PSM, penganjuran konsert artis United Kingdom, Coldplay telah menyukarkan penjagaan rumput untuk dikembalikan ke tahap optimum.
Hasilnya, keadaan rumput stadium di Bukit Jalil berada pada tahap yang teruk dan sukar untuk diterima oleh pasukan serta penyokong bola sepak tempatan.
"PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu.
"PSM komited melakukan penambahbaikan standard operating procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan," ujar PSM lagi.
TMJ datang melawat
TMJ berkenan meninjau keadaan padang dan sesi latihan rasmi JDT menjelang Piala Malaysia 2023 akhir malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. — Bernama
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hadir ke Bukit Jalil untuk menyaksikan persiapan skuad Harimau Selatan sebelum perlawanan akhir pada Jumaat.
Dalam masa sama, TMJ turut menyaksikan keadaan rumput padang Bukit Jalil yang dianggap tidak berada dalam keadaan memuaskan seperti dalam video tersebar di X (Twitter).
Perlawanan akhir Piala Malaysia tetap akan diadakan di Bukit Jalil walaupun keadaan padang berada dalam keadaan tidak baik.
Saat JDT melakukan latihan rasmi mereka di Bukit Jalil, Terengganu memilih untuk membuat persiapan terakhir dekat Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram