'Jika mahu, pasti ada jalan', usaha TFC ubah rumput SSMZA raih pujian


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Rumput SSMZA diiktiraf sebagai antara yang terbaik di Malaysia. — Facebook/Terengganu FC

KUALITI rumput Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang begitu mengecewakan jelas mengundang rasa tidak senang penyokong menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

Bukan saja penyokong, malah pemain dan pegawai Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pastinya tidak senang kerana kualiti padang akan memberikan kesan kepada kualiti permainan kedua-dua pasukan.

Di media sosial, tular satu perkongsian mengenai situasi sama pernah berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu.

Dalam perkongsian tersebut menunjukkan keadaan padang SSMZA yang begitu teruk tetapi kini sudah berubah menjadi antara yang terbaik di Malaysia sekarang.

Keadaan padang tersebut dianggap sebagai tidak boleh diselamatkan lagi namun usaha keras pihak berkaitan SSMZA berjaya mengubahnya.

“Stadium ini pernah berada ditahap yang sangat teruk dan hampir-hampir tidak boleh diselamatkan, kini stadium ini adalah salah sebuah stadium di dalam negara yang mempunyai gred padang terbaik dan bertaraf antarabangsa.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” kata laman JDTFC di Facebook.

Usaha TFC baiki SSMZA

Ikhtiar yang cuba dilakukan oleh Terengganu untuk menambah baik kualiti stadium telah bermula pada 2020.

Ketika itu, mereka mendapatkan tajaan daripada pihak Malaysian Football League (MFL) yang mewujudkan program penukaran rumput padang.

EPl_WUeU0AEXI0P

SSMZA menggunakan rumput jenis Bermuda. — Facebook/Terengganu FC

Hasil penyertaan Terengganu, MFL menaja penukaran rumput padang SSMZA dengan nilai RM1 juta untuk usaha tersebut.

SSMZA menggunakan rumput jenis Bermuda hasil tajaan tersebut dan sehingga kini mereka menjaga dengan cukup baik. Hasilnya, padang stadium itu dianggap sebagai antara yang terbaik di Malaysia.

Benarlah, jika ada kemahuan, di situlah jalan akan muncul. Kemahuan Terengganu untuk mengubah nasib rumput SSMZA perlu dijadikan ikutan kesemua pasukan di Malaysia supaya kualiti bola sepak akan meningkat.

Begitu juga dengan penjaga stadium nasional, usaha keras perlu dijaga supaya kualiti rumput dapat dikekalkan pada tahap terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram