'Main boleh main, tapi nanti pemain cedera' — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

TMJ kecewa melihat keadaan rumput Stadium Nasional Bukit Jalil. — Bernama

PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa gusarnya kepada kualiti rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kualiti rumput padang stadium tersebut berada pada tahap yang amat membimbangkan memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dengan Terengganu FC akan diadakan pada Jumaat.

Baru-baru ini, TMJ datang ke stadium untuk menyaksikan sesi latihan rasmi Harimau Selatan di Bukit Jalil.

Berpeluang menyaksikan secara terus keadaan rumput, nyata ia menggusarkan pemilik JDT itu kerana ia akan memberikan kesan buruk pada jangka masa panjang.

Menyuarakan pendapatnya secara terbuka di Instagram, TMJ mengatakan keadaan padang tersebut membolehkan sebuah perlawanan bola sepak tetapi bukanlah kualiti permainan terbaik bakal dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

408768547_921779925984651_2864502149702145856_n

Para pemain JDT berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

BACA LAGI : [VIDEO] PSM mohon maaf, TMJ turun SNBJ saksi keadaan rumput

"Main boleh main. Tapi kualiti perlawanan akan rendah," kata TMJ.

Dalam masa yang sama, TMJ turut risau keadaan padang akan menyebabkan para pemainnya mengalami kecederaan sekali gus memberi kesan kepada Harimau Malaya.

Hal ini kerana, jika ada pemain-pemain Harimau Malaya yang tercedera kerana beraksi dalam perlawanan akhir, mereka akan hampir pasti ditinggalkan untuk dibawa ke Qatar bagi tugasan Piala Asia 2023 pada Januari 2024.

"Yang membimbangkan adalah pemain-pemain utama atau pemain kebangsaan macam La'Vere Corbin-Ong, Arif Aiman, Matt Davies, Endrick dos Santos, Shahrul Saad dan Afiq Fazail cedera buku lali, paha, lutut dan pangkal paha kerana padang tak rata. Bulan depan (Januari) ada Piala Asia di Qatar," ujar TMJ lagi.

Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada JDT, Terengganu dan Malaysian Football League (MFL) sebagai penganjur perlawanan akhir.

Mereka mengakui kekurangan masa untuk menyiapkan padang akibat penganjuran konsert artis dari United Kingdom iaitu Coldplay pada November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram