[VIDEO] Bekas penjaga gol JDT optimis Harimau Selatan mampu kekalkan Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Perlawanan JDT dan Terengganu bakal menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak negara pada Jumaat. — MFL

BAHANG pentas final Piala Malaysia semakin terasa apabila hanya tinggal satu hari lagi untuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC berentap bagi merangkul trofi Piala Malaysia 2023.

Perlawanan akhir Piala Malaysia itu dijadualkan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Melihat kualiti kedua-dua pasukan, JDT mempunyai lebih banyak kelebihan memandangkan skuad Harimau Selatan rata-ratanya dibarisi pemain kebangsaan.

Namun percaturan taktikal Tomislav Steinbruckner tidak boleh diambil mudah oleh Esteban Solari apabila Terengganu antara pasukan yang tidak tewas dalam Piala AFC.

Al Hafiz Hamzah

Al Hafiz Hamzah antara pemain terawal yang menyertai revolusi TMJ selepas mengambil alih Harimau Selatan pada 2013.

Bekas penjaga gol JDT, Al Hafiz Hamzah menganggap JDT memiliki kelebihan dengan barisan penyudah yang tajam.

"Saya lihat di atas kertas itu memang memihak kepada JDT untuk kemenangan Piala Malaysia menentang Terengganu ini.

"Sekarang ini pasukan JDT bertambah baik daripada segi pemain, jadi apabila saya menonton perlawanan JDT memang susah untuk menembusi pertahanan JDT ini.

"Penyerang mereka juga saya tengok bila ada peluang mereka tidak mensia-siakan, dalam bola sepak ini tidak mustahil pentas final ini kalau diberi peluang kepada mana-mana pemain pun mereka akan tunjukkan yang terbaik.

"Dalam final semangat itu penting, tetapi perasaan gugup itu juga ada. Saya percaya kesilapan ini, kalau boleh elakkan dalam bola sepak ini," katanya kepada Astro Arena.

Untuk rekod Al Hafiz merupakan antara tonggak utama JDT muncul naib juara Piala Malaysia pada 2014.

Musim lalu, JDT berjaya menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memenangi piala tertua di Asia itu selepas gagal pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram