HASRAT pemain muda Indonesia, Pratama Arhan untuk mengikuti jejak langkah pemain senior negaranya, Irfan Bachdim dan Stefano Lilipaly beraksi di pentas tertinggi Liga Jepun iaitu J1 League pada musim depan tidak kesampaian.
Ini kerana jodoh pemain berusia 21 tahun itu bersama Tokyo Verdy terlerai selepas kelab Jepun itu tidak berminat untuk menyambung kontraknya.
Perkara itu disahkan oleh ejennya, Dusan Bogdanovic apabila ditanya tentang situasi Arhan ketika ini.
"Musim depan Tokyo Verdy layak beraksi ke J1 League, tapi perancangan kami sudah dua atau tiga bulan yang lalu.
"Kami akan pindah dari Tokyo Verde, mungkin beberapa minggu lagi kami akan umumkan destinasi Arhan," katanya kepada CNN Indonesia.
Pratama Arhan dikhabarkan akan beraksi di Liga Korea. — Agensi
Terdapat khabar angin mengatakan Pratama Arhan akan beraksi di Liga Korea bersama Suwon FC musim depan yang kini berada di zon penyingkiran ke divisyen kedua negara itu.
Jika benar pemain pertahanan Indonesia itu ke Korea, dia akan mengikuti jejak langkah Asnawi Mangkualam yang kini bersama Jeonnam Dragons.
Perpindahan Pratama Arhan juga disebabkan ingin mendapatkan lebih minit permainan selepas dia hanya beraksi satu perlawanan liga buat Tokyo Verdy musim ini.
Dengan pemain pertahanan kanan itu kini berstatus ejen bebas, ramai ingin tahu destinasi kelab yang bakal ditujunya.
Ini mungkin peluang besar buat kelab-kelab Liga Malaysia untuk mendapatkan khidmatnya selepas dia cemerlang ketika menewaskan Malaysia dengan keputusan 1-4 dalam kejohanan Piala AFF 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram