[VIDEO] Bekas bintang Newcastle United antara 3 pemain EPL Korea Selatan 'relevan' untuk Liga M


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Sung-yueng pernah beraksi bersama Newcastle United. — Agensi

NEGARA jiran sedang hangat memperkatakan kehadiran bekas pemain AS Roma, Radja Nainggolan ke Bhayangkara Presisi Indonesia FC yang menduduki tangga terakhir Liga 1 Indonesia.

Nainggolan yang mempunyai darah kacukan Belgium-Indonesia itu mungkin menamatkan karier bola sepaknya di Indonesia selepas kini berusia 35 tahun.

Pernah beraksi bersama kelab-kelab besar seperti AC Milan, AS Roma dan Inter Milan, kehadiran pemain berusia 35 tahun itu nyata menimbulkan keterujaan kepada peminat Bhayangkara.

Tugas sukar menanti Nainggolan apabila perlu membantu Bhayangkara keluar daripada kedudukan tercorot liga.

Dengan musim ini semakin hampir menutup tirai, kelab-kelab Liga M turut boleh memeriahkan suasana bola sepak dengan membawa masuk pemain berstatus bintang.

Majoriti senaraikan tiga bintang Korea Selatan yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) relevan untuk Liga M musim depan:

1. Ki Sung-yueng

Antara pemain tengah bertahan terbaik yang pernah dimiliki Korea Selatan, Ki Sung-yueng wajar menjadi pertimbangan kelab-kelab Liga Super yang mempunyai bajet besar.

Pernah mencipta nama bersama kelab England, Swansea City, Sung-yueng kini berusia 34 tahun dan masih menjadi pilihan utama FC Seoul.

Selain daripada mewakili Swansea City, Sung-yueng turut mempunyai pengalaman di Liga Scotland, Sepanyol dan Australia.

Musim ini, Sung-yueng tampil dala 35 perlawanan dan berjaya menjaringkan dua gol serta empat 'assist'.

2. Lee Chung-yong

Peminat bola sepak Inggeris mungkin tidak menyedari pemain sayap Ulsan Hyundai, Lee Chung-yong pernah beraksi dalam EPL.

Chung-yong yang menyerlah bersama Bolton FC berjaya menarik minat Crystal Palace pada 2015 yang ketika itu berada di EPL.

Musim ini, pemain berusia 35 tahun itu beraksi dalam 38 perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol serta dua assist.

Selain England, Jerman turut menjadi destinasi pemain sayap itu untuk terus melebarkan sayapnya di Eropah sebelum pulang ke negara kelahiran pada 2020.

3. Ji Dong-won

Bekas penyerang Sunderland AFC, Ji Dong-woon pernah berkelana ke EPL pada 2011 selepas cemerlang bersama Chunnam Dragons di Korea Selatan.

Selepas daripada itu, pemain berusia 32 tahun tersebut tidak lagi menoleh belakang apabila berjaya menarik minat beberapa kelab gergasi Jerman seperti Borussia Dortmund, FC Augsburg dan FSV Mainz 05.

Pada 2021, penyerang berketinggian 1.87 meter itu kembali ke Korea Selatan dengan menyertai FC Seoul.

Musim ini, Dong-won menjaringkan satu gol serta satu assist dalam 10 perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram