Gagal lengkapkan pendaftaran, Selangor ada sejarah hampir tarik diri dari Liga M


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Antara pemain-pemain Selangor FC pada 2018. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC akhirnya kembali ke pentas Asia selepas kali terakhir beraksi di saingan Piala AFC pada musim 2015-2016.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Sabtu lalu mengesahkan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe bergelar naib juara Liga Super musim ini dengan pungutan 58 mata.

Musim ini, Selangor merekodkan lima kekalahan, satu seri dan 19 kemenangan dalam 25 perlawanan terakhir Liga Super.

Misi ke Asia diinspirasikan oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mengambil alih tampuk kempimpinan lama FA Selangor pada 2018.

Musim ini, magis Cheng Hoe berjaya membawa Selangor ke Asia selepas Gergasi Merah gagal dengan beberapa bekas ketua jurulatih seperti mendiang B. Sathianathan, Karsten Neitzel dan Michael Feichtenbeiner.

Rufino Segovia (depan) antara peledak berbisa Selangor pada musim 2018.

Namun adakah anda tahu, sebelum RMS muncul sebagai penyelamat bola sepak Selangor, pihak pengurusan terdahulu mempunyai krisis kewangan yang menyebabkan Gergasi Merah nyaris tidak didaftarkan dalam Liga M pada 2018.

Bermula dari krisis dalaman pentadbiran sehingga bekas Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan.

Ia semakin rumit buat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana tiada dana daripada kerajaan negeri sebagaimana yang dinikmati dalam musim-musim sebelumnya.

Tempoh kemuncak FAS ialah apabila didenda oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sebanyak RM1.5 juta sekali gus memberi impak besar kepada kewangan pasukan.

Ketika itu, Selangor dan tiga lagi pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Kuala Lumpur serta PKNS FC paling banyak dikenakan denda sebanyak RM1.5 juta atas kegagalan melengkapkan pendaftaran pasukan Liga M pada 5 Mac 2018.

Ia sekali gus menimbulkan khabar angin dalam kalangan penyokong bahawa FAS akan menarik diri daripada bersaing dalam Liga Super 2018.

Rauf

Abdul Rauf menafikan bahawa Selangor akan tarik diri daripada Liga M.

Namun bekas Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad, menafikan bahawa Selangor akan tarik diri kerana Gergasi Merah milik rakyat Selangor.

"Kami tidak akan tarik diri kerana pasukan ini bukan milik persatuan tapi kepunyaan penyokong dan rakyat Selangor. Kita tak boleh ambil tindakan terburu-buru nak tarik diri. Kalau kita tarik diri, pemain akan hilang pekerjaan dan penyokong juga akan kecewa.

"Sebab itu kami menjadi pasukan pertama yang mengemukakan rayuan. Kami akur dengan kesilapan ini dan akan cuba untuk perbaiki kelemahan dari masa ke semasa. Cuma kami berharap dengan rayuan itu, hukuman dapat dikurangkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram