[VIDEO] Mahu cari peluang beraksi dalam Liga M, bekas pemain Portsmouth idam sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

Jez (tengah) kini cemerlang beraksi bersama Wimborne Town FC dan menjadi tonggak utama pasukan itu. — Agensi

PENYOKONG bola sepak negara ini tidak boleh menafikan bahawa peningkatan mendadak prestasi skuad kebangsaan ialah dengan kehadiran pemain-pemain warisan ke dalam skuad Harimau Malaya.

Bintang-bintang seperti La'Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Stuart Wilkin, Brendan Gan, Dion Cools dan Darren Lok merupakan antara tonggak utama skuad kendalian Kim Pan-gon.

Pada bulan lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya membawa pemain muda England-Malaysia, Richard Chin ke dalam skuad Bawah-23 (B-23) bagi persiapan ke Piala Asia B23 tahun depan.

Sejak daripada itu, ramai pihak mula membuka mata untuk memberi ruang kepada pemain warisan lebih banyak beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) serta Harimau Malaya.

Jez

Jez pernah menyertai kelab divisyen satu England, Portsmouth FC. Agensi

Bekas pemain Portsmouth FC, Jez Bedford turut mengidamkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan beraksi dalam Liga M jika diberikan peluang di masa akan datang.

"Saya berdarah campuran England-Malaysia, yang mana ibu saya menerusi ayahnya (atuk) ialah orang Melayu.

"Saya tidak mengetahui banyak tentang Liga M sehinggalah tahun lepas ramai peminat dari Malaysia mula menghubungi saya.

"Ketika saya di Portsmouth, pernah terdetik alangkah baiknya jika beraksi bersama skuad kebangsaan dan impian itu tidak pernah berubah.

"Ini kerana, ia merupakan pencapaian terbaik buat kelurga dan diri saya jika berjaya membawa nama Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Bedford

Jez kini bersama Wimborne Town FC. Agensi

Jez yang kini beraksi bersama Wimborne Town FC turut berkongsi latar belakang kariernya sebagai pemain bola sepak dan mula mengikuti Liga M selepas ramai pemain kelahiran England beraksi di negara ini.

"Saya memulakan karier bersama Akademi Southampton FC pada usia tujuh sehingga 12 tahun dan selepas itu saya menandatangani kontrak bersama Portsmouth.

"Saya berjaya mendapatkan biasiswa dan kontrak profesional selama satu tahun bersama Portsmouth.

"Selepas beraksi bersama Portsmouth, saya bermain untuk kelab semi-pro England, Poole Town selama tiga musim dan berkelana ke Sweden untuk beberapa bulan dengan Ytterhogdals IK.

"Ytterhogdals IK mahukan saya kembali tetapi selepas peristiwa EU susah untuk mendapatkan visa yang mana saya kembali bersama Poole Town dan kini Wimborne Town dan memenangi banyak anugerah sejak daripada itu.

"Saya melihat ramai pemain kelahiran England-Malaysia mula beraksi di Liga M dan itu menunjukkan bahawa liga di negara itu (Malaysia) sedang membangun dengan baiknya," jelasnya.

Pemain berusia 24 tahun itu mendedahkan pernah dihubungi oleh seorang individu untuk beraksi dalam Liga M tetapi Jez memikirkan tentang keluarganya jika mahu beraksi di negara ini.

"Susah bagi saya untuk meninggalkan keluarga dan rakan-rakan kerana perbezaan waktu kedua-kedua negara.

"Tetapi saya tiada 'attachment' di sini (England) untuk menghalang saya kekal lama di England, kerana saya juga mempunyai keluarga di Malaysia.

"Saya pernah dihubungi oleh Chris Brandon yang 'approach' saya untuk beraksi di Malaysia.

"Saya rasa Chris Brandon bekas pemain yang pernah beraksi dalam Liga M, tapi perkara itu berlaku beberapa tahun sudah," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram