TERENGGANU FC kembali ke pentas akhir Piala Malaysia untuk edisi 2023 selepas lima tahun tidak berjaya melakukannya.
Kali terakhir skuad Penyu beraksi di pentas akhir adalah pada 2018 dengan pasukan Pantai Timur itu merupakan sebahagian daripada perlawanan final paling gila dalam sejarah moden Piala Malaysia.
Terengganu yang dibimbing oleh Irfan Bakti tewas kepada Perak FC 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 usai tamat 120 minit masa permainan.
Kali ini, Majoriti akan menyingkap di manakah kesebelasan utama terakhir Terengganu yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2018:
1. Suffian Rahman
Suffian merupakan antara penjaga gol yang cukup berkualiti pernah Terengganu miliki. Walaupun ketika 2018 usianya sudah adalah 40 tahun, tetapi dia mampu mempamerkan persembahan cemerlang untuk skuad Penyu.
Dia kemudiannya terus kekal bersama Terengganu walaupun tewas perlawanan akhir tersebut dan menyambung prestasi cemerlangnya pada 2019.
Malangnya pada 2019, Suffian telah meninggal dunia pada 1 Ogos tetapi puncanya masih tidak diketahui.
Suffian Rahman kini sudah tiada. — FAM
2. Adib Aizudin
Pertahanan kanan ini merupakan pemain yang sering bersama Irfan ke mana saja jurulatih itu pergi. Baik di Selangor FC, Felda United atau Terengganu, Adib sentiasa bersama pengendali tersebut.
Adib antara pemain yang kekal beraksi sepanjang 120 minit dan berjaya memastikan Terengganu kekal dalam perlawanan.
Pertahanan kanan ini sudah pun bersara pada 2021 dengan Imigresen FC merupakan kelab terakhirnya.
3. Igor Zonjic
Pertahanan tengah import Terengganu tersebut akan sentiasa diingati dalam lipatan sejarah perlawanan akhir 2018 kerana kesilapan dilakukannya.
Ketika Terengganu hampir menang di masa tambahan, Zonjic tertampan bola ke gawang sendiri pada minit terakhir permainan dan kerana itu perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Selain itu, Zonjic merupakan salah seorang daripada tiga pemain Terengganu yang gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Zonjic kini telah pulang ke negara asalnya iaitu Serbia dan mewakili pasukan Radnicki Obrenovac.
Zonjic kini kembali ke negara asalnya iaitu Serbia. — Facebook/Terengganu FC
4. Kamal Azizi
Kamal merupakan sebahagian daripada skuad Terengganu yang beraksi pada malam tersebut dengan dia beraksi dari mula hingga tamat perlawanan.
Pertahanan kanan ini pada malam tersebut diletakkan oleh Irfan sebagai pertahanan kiri untuk membolehkan Adib dapat beraksi di posisi tersebut.
Kini Kamal tidak lagi bersama Terengganu dengan dia berkelana bersama Kuala Lumpur (KL) City FC di ibu kota.
5. J. Partiban
Partiban merupakan sandaran Irfan ketika perlawanan akhir tersebut dengan pemain penuh tenaga itu memberikan persembahan baik menentang Perak.
Tenaga yang ada pada pemain tersebut membuatkan Terengganu mampu bersaing sehingga tamat masa tamabahan walaupun Partiban dikeluarkan ketika separuh masa pertama masa tambahan.
Kini, Partiban masih lagi beraksi dalam Liga Super dengan dia dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC dari KL City.
6. Thierry Bin
Bintang kacukan Kemboja-Perancis merupakan pemain import Asean buat Terengganu mungkin mengambil masa sedikit lama untuk melupakan duka tewas kepada Perak.
Hal ini kerana, Thierry merupakan salah seorang daripada pemain Terengganu yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada malam tersebut.
Kini berusia 32 tahun, Thierry kini beraksi bersama-sama Svay Rieng dalam saingan divisyen satu Kemboja.
7. Latiff Suhaimi
Lattif Suhaimi merupakan pasangan Thierry di bahagian tengah ketika perlawanan akhir tersebut.
Pemain tengah bersifat bertahan (defensive) itu merupakan seorang pemain versatil yang juga boleh bermain sebagai pertahanan tengah.
Kini tidak lagi beraksi bersama Terengganu, Latiff berkhidmat dengan Kelantan United FC selepas meninggalkan skuad Penyu pada selepas perlawanan akhir tersebut.
8. Faiz Nasir
Pemain bertubuh kecil ini mempunyai perlawanan cemerlang dalam kariernya pada malam tersebut di Stadium Shah Alam, Selangor.
Gerakan lincah Faiz pada malam tersebut hampir memberikan kejuaraan buat Terengganu apabila pemain tersebut menghasilkan gol pendahuluan skuad Penyu pada masa tambahan sebelum dipadamkan oleh jaringan sendiri Zonjic.
Kini Faiz kembali semula ke Terengganu selepas menyertai Selangor FC pada 2019, namun dia dipinjamkan ke Kelantan United.
9. Lee Tuck
Pemain naturalisasi kebangsaan itu akan diingat kerana sentiasa mempamerkan komitmen tinggi untuk Terengganu.
Namun begitu, pada malam tersebut dia telah mengecewakan ribuan penyokong Terengganu apabila menerima dua kad kuning dan diperintah keluar pada minit ke-66.
Kini selepas menamatkan kontraknya bersama KDA, Lee Tuck terbang semula ke negara kelahirannya di England untuk menjadi ejen hartanah sambil status kewarganegaraannya menjadi topik perbualan hangat penyokong bola sepak Malaysia.
Lee Tuck kini menjadi kembali semula ke England. — Facebook/Terengganu FC
10. Malik Ariff
Malik diingati kerana gerak kerjanya (work rate) yang berkualiti tidak kira dengan pasukan mana disertainya.
Pada aksi final tersebut, Malik yang beraksi di bahagian serangan tidak mempunyai impak tinggi terhadap perlawanan dan digantikan pada minit ke-62 dengan Shahrul Aizad.
Kini Malik tidak lagi bersama-sama Terengganu dengan dia menyertai Sri Pahang FC.
11. Tchetche Kipre
Ketua pasukan Terengganu untuk malam tersebut memberikan persembahan terbaiknya buat skuad Penyu dengan menghasilkan dua gol.
Kipre kini bersama KL City. — Facebook/Terengganu FC
Gol Kipre hadir seawal minit pertama perlawanan sebelum menggandakan pendahuluan Terengganu pada minit ke-42.
Namun begitu, rezeki tidak memihak Kipre apabila usahanya itu gagal menghadiahkan piala untuk Terengganu pada tahun tersebut.
Kini tidak lagi bersama Terengganu, Kipre beraksi untuk KL City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram