[VIDEO] Ex Arsenal 'ole' TAA depan Klopp tapi akhirnya Liverpool yang senyum lebar


  • Podium
  • Selasa, 05 Dis 2023

Trent Alexander-Arnold muncul wira Liverpool apabila menjaringkan dua gol menentang Fulham. — Agensi

PERTARUNGAN English Premier League (EPL) antara Liverpool dan Fulham pada Ahad sememangnya menarik untuk disaksikan.

Tujuh jaringan gol terhasil dengan empat daripadanya berlaku pada separuh masa pertama selain drama pada penghujung perlawanan menjadikan aksi di Anfield tersebut begitu berkualiti.

Pemain pertahan The Reds, Trent Alexander-Arnold nyata mencuri tumpuan apabila persembahan cemerlangnya berjaya membawa Liverpool ke arah kemenangan dramatik 4-3 untuk terus menekan Arsenal di puncak liga.

Namun pada satu ketika, pemain antarabangsa England ini mengalami detik yang membawa malu kepada dirinya apabila seorang pemain Fulham bertindak melakukan 'ole' kepadanya.

Ketika perlawanan berlangsung di separuh masa kedua, Alex Iwobi telah memalukan Alexander-Arnold apabila melakukan 'nutmeg' atau 'ole' (salah satu skil menggelecek bola di celah kaki lawan yang sering digunakan dalam futsal mahupun bola sepak).

Situasi itu berlaku apabila bekas pemain Arsenal tersebut cuba untuk melepasi kawalan Alexander-Arnold dan Dominik Szoboszlai di tepi padang berhadapan dengan bangku simpanan Liverpool seperti dalam video tular di Twitter (X).

Oleh kerana ruang yang sempit dimiliki Iwobi, pemain itu tiada pilihan lain melainkan perlu bertindak bijak untuk mencipta gerakan supaya dapat keluar daripada situasi sukar tersebut.

Hasilnya, Iwobi bertindak melakukan 'nutmeg' terhadap Alexander-Arnold sekali gus dapat terus mara ke kawasan Liverpool untuk menyerang pintu gol The Reds.

Kejadian yang berlaku di depan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa malu Alexander-Arnold. Namun begitu, pemain tersebut berjaya menebusnya dengan mempamerkan persembahan cemerlang.

Alexander-Arnold muncul sebagai wira Liverpool apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-88 untuk memastikan Fulham kecewa selepas perlawanan terikat 3-3 menuju masa kecederaan separuh masa kedua.

Dia mungkin mempunyai detik memalukannya dalam aksi tersebut, namun begitu Alexander-Arnold dan Liverpool memperoleh kejayaan mutlak apabila wisel penamat ditiupkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram