SELANGOR FC mencatatkan persembahan baik pada musim ini dalam saingan Liga Super. Jika hendak dibandingkan dengan musim-musim lepas, Gergasi Merah sering sukar untuk menembusi kelompok atasan.
Namun begitu, situasi tersebut berubah apabila musim ini Selangor berhasil mendapatkan tempat kedua dalam Liga Super. Di samping itu, mereka juga berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebagai salah satu daripada wakil Malaysia di Asia.
Salah satu daripada punca kejayaan Selangor untuk ke Asia adalah kerana penyerang mereka iaitu Ayron del Valle. Pemain dari Colombia itu hadir ke Malaysia dengan reputasi hebat sebagai penyerang tajam di depan gol.
Namun begitu, detik awal Ayron bersama Selangor tidaklah seindah disangka. Pemain itu sering dikecam dan dianggap scam oleh penyokong Gergasi Merah. Tetapi dia mampu membuktikan dirinya adalah penyerang berkredibiliti tinggi.
Ayron kini semaki hampir untuk bergelar penjaring terbanyak Liga Super 2023 dengan 23 gol. Jika sasaran itu berjaya dicapai, ia merupakan legasi terbaik ditinggalkan Ayron buat Selangor.
Hal ini kerana, pemain tersebut dikhabarkan akan meninggalkan Selangor pada musim depan. Perkhabaran tersebut jelas sekali menyedihkan penyokong Selangor kerana sudah mula menyukai kelibat pemain tersebut.
Mana tidaknya, kerana gol-gol oleh Ayron telah berjaya membawa Selangor ke pentas Asia. Penyokong berasa sedih kerana penyerang itu tidak akan bersama-sama Gergasi Merah dalam pengembaraan menentang jaguh-jaguh Asia yang lain.
"Sedih Ayron tak bersama kita untuk musim depan. Sepatutnya bila dah layak main peringkat Asia ni lagi manis ikat kontrak lagi setahun, supaya Ayron dapat main.
"Sebab dia adalah tonggak yang hantar kita ke Asia. Tapi tak mengapa, all the best Ayron untuk karier," kata penyokong bernama Harith Danial.
"Aku sebagai penyokong Selangor sedih jugalah. Dia yang bawa Selangor ke Asia, bagilah Ayron peluang," ujar Syahmi Imran.
"Tak ada siapa nak cucuk Ayron untuk buat u-turn?," soal Dzaky Sama.
Namun begitu, penyokong Selangor yang lain mempunyai pendapat tersendiri mengapa Ayron tidak perlu dikekalkan.
Benar, pemain itu cukup baik apabila menentang kelab-kelab Liga Super, tetapi mampukah Ayron beraksi cemerlang ketika berdepan pasukan handalan Asia?
"Ayron tak patut dikekalkan. Lepas rehat dekat sebulan ni persembahannya menurun, boleh tengok peluang yang dia ada untuk jaringkan gol tapi gagal," kata Muhammad Nazmie.
"Ayron tu badannya dah tak teguh, tak boleh simpan lama dah," ujar Syaril Syaril.
Dengan Ayrin semakin hampir meninggalkan Selangor, pengurusan Gergasi Merah harus pantas mencari penggantinya.
Penyerang lebih muda dan tajam harus dicari supaya Selangor akan tetap mencabar pasukan lawan baik di peringkat tempatan atau Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram