PSM perlu bersedia terima kritikan hebat kerana gagal siapkan rumput SNBJ — Pakar


  • Podium
  • Selasa, 05 Dis 2023

Padang Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat tidak bersedia menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Jumaat ini. — X/TMJ

PERSEDIAAN menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dengan Terengganu FC pada Jumaat dilihat berada di tahap tidak memuaskan.

Hal ini kerana, rumput padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur tidak berada dalam keadaan terbaik. Malah, boleh dikatakan ia tidak cukup 'cergas' untuk mengadakan perlawanan bola sepak.

Pendedahan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim 'memuji' formula yang digunakan oleh Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac penjagaan rumput stadium.

Melihat kepada situasi tersebut, wajar untuk bukan sahaja JDT, bahkan Terengganu untuk berasa risau mengenai keadaan padang Bukit Jalil.

GAesHALbYAAhXMb

Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang mengecewakan. — X/TMJ

Menurut penganalisis sukan negara, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, dia tidak terkejut jika JDT dan Terengganu risau dengan keadaan padang kerana ia akan menyebabkan corak permainan mereka terganggu.

"Saya percaya kedua-dua pasukan akan rasa bimbang untuk bermain dengan baik kerana rumput tersebut baru saja dilanyak ketika sebuah konsert artis antarabangsa. Malah, rumput itu baru saja dinaik taraf.

"Oleh itu, kalau nak pakai juga pada Jumaat ini, ia akan beri kesan kepada corak permainan pasukan terutamanya mereka yang gemar bermain hantaran-hantaran pendek. Malah, mereka juga risau keadaan padang akan datangkan kecederaan kepada para pemain," kata Zulakbal kepada Majoriti.

Zulakbal turut memberikan peringatan yang PSM perlu bersedia menerima kebanjiran kritikan dan cemuhan oleh JDT dan Terengganu serta penyokong kedua-dua pasukan.

Hal ini kerana, mereka pastinya kecewa kerana permukaan padang yang teruk menyebabkan corak permainan pada perlawanan akhir tidak berada pada tahap terbaik.

"Jika padang tidak bersedia dan tiada pilihan lain kerana tetap ingin adakan perlawanan di lokasi sama, apa lagi kita boleh harapkan?

"Sudah pasti, kedua-dua pasukan akan memberi komen dan penyokong akan mengutuk kerana permukaan padang yang teruk menyebabkan corak permainan tidak dapat dijalankan dengan lancar," ujar Zulakbal lagi.

Zulakbal juga menolak kemungkinan pihak Malaysian Football League (MFL) memilih untuk menunda perlawanan akhir ke satu tarikh yang lain.

Tetapi, jika padang rumput tidak dapat disiapkan mengikut jadual, mungkin cara terbaik untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan memindahkan lokasi perlawanan ke lokasi lain seperti Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram