DENGAN semakin dekat masanya untuk kalendar bola sepak Malaysia melabuhkan tirai, semakin banyak gosip-gosip perpindahan mula tersebar dalam kalangan pemain bagi musim hadapan.
Pelbagai khabar angin bertiup mengenai perpindahan pemain baik melibatkan bintang tempatan atau pun import. Malah, tidak terkecuali melibatkan pemain muda dalam negara kita, mereka juga dalam usaha mencari pasukan baharu untuk musim depan.
Begitulah yang terjadi kepada pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC B, iaitu Hariz Mansor. Pemain tersebut dikatakan bakal meninggalkan skuad Piala MFL Sang Kenari tersebut musim ini.
Di media sosial miliknya, Hariz menghasilkan siaran dengan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan KDA atas jasa membantu pemain itu mendapatkan minit permainan.
"Terima kasih Kedah Darul Aman FC untuk (musim) 2023," kata Hariz dengan ringkas di media sosialnya iaitu Instagram.
Hariz bakal sertai pasukan Pantai Timur? — Facebook/Kedah Darul Aman FC B
Dalam siaran tersebut, Hariz turut menyiarkan beberapa foto kenangan aksi-aksinya bersama-sama KDA B dalam saingan Piala MFL musim ini.
Namun begitu, timbul persoalan, ke manakah perginya Hariz untuk musim depan jika tidak lagi bersama-sama Sang Kenari?
Hariz dikhabarkan akan menyertai sebuah pasukan dari Pantai Timur pada musim hadapan. Hal ini kerana, timbul klu mengatakan pemain tersebut akan berhijrah ke salah sebuah pasukan yang sinonim dengan warna hitam dan putih.
"Akan datang... (sambil meletakkan emoji warna putih dan hitam)," komen pengguna Instagram bernama Alieff Firdaus.
Malah, pada komen itu juga terdapat seorang pemain yang memberikan respons dan itu sedikit sebanyak menguatkan spekulasi Hariz ke Pantai Timur.
"Wah betul macam Fabrizio (Romano) ni,” respons pemain Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul terhadap komen tersebut.
Berdasarkan warna emoji serta respons oleh Ubaidullah, ini menguatkan spekulasi Hariz akan berpindah ke Terengganu pada musim hadapan.
Jika benar, ia akan menambah pilihan buat Tomislav Steinbruckner di bahagian pertahanan kerana Hariz merupakan pemain pertahanan tengah.
Namun ia mungkin ada plot 'twist' dalam kisah tersebut. Mungkin Sri Pahang FC boleh menjadi destinasi Hariz kerana pasukan tersebut turut sinonim dengan warna hitam dan putih walaupun sering mengenakan biru serta kuning pada jersi mereka.
Adakah Hariz akan benar-benar berhijrah ke Pantai Timur? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram