Perak FC jadikan Piala Cheetah platfom gali bakat baharu untuk The Bos Gaurus


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Piala Cheetah akan diadakan bermula 9 hingga 23 Disember 2023. — Facebook/Perak FC

PERAK FC menjadikan kejohanan bola sepak Piala Cheetah 2023 bermula pada 9 Disember ini sebagai gelanggang memilih pemain pelapis pasukan itu.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata Perak memerlukan pelapis bagi meneruskan legasi pasukan selain memantapkan kekuatan The Bos Gaurus dalam arena bola sepak negara.

Beliau berkata kejohanan itu yang sebelum ini dikenali Piala Dato' Seri Azim Zabidi dan dijenamakan semula kepada Piala Cheetah merupakan penganjuran kali kedua, bakal menjadi kejohanan tahunan Perak.

"Pembangunan akar umbi amat penting, Perak FC mempunyai misi dan visi malah bukan hanya melengkapkan program tahunan pembangunan bola sepak kerana yang penting adalah melahirkan lebih ramai pelapis.

"Kesemua mereka yang menyertai kejohanan ini akan dinilai oleh barisan kejurulatihan Perak FC termasuk Ketua Pembangunan dan Pencarian Bakat (KPPB) Perak FC, Raja Azlan Shah Raja So'ib untuk diserap dalam pasukan Perak FC III (Piala Presiden) dan Perak FC IV (Piala Belia) bagi memastikan sukan bola sepak Perak terus berkembang maju," katanya dalam sidang media di Stadium Perak.

408010510_363330319580683_3810300575777311321_n

Piala Cheetah akan diadakan di tiga zon seluruh negeri Perak. — Facebook/Perak FC

Abdul Azim berkata, Piala Cheetah 2023 itu dibahagikan kepada tiga zon seluruh Perak iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan bermula 9 hingga 23 Disember.

"Kejohanan ini melibatkan pemain berumur 17 hingga 19 tahun dengan penyertaan 24 pasukan yang menawarkan hadiah sebanyak RM10,000 selaku juara, naib juara (RM6,000) dan tempat ketiga (RM4,000) serta keempat (RM2,000).

"Lapan pasukan terbaik iaitu dua daripada Zon Utara, tiga daripada Zon Tengah dan tiga pasukan lagi dari Zon Selatan akan berentap pula dalam Liga Juara-Juara pada 31 Disember di Kompleks Bola Sepak Perak, Chemor," katanya.

Bagi Zon Utara, kejohanan akan berlangsung di Institut Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Taiping pada 9 Disember melibatkan enam pasukan iaitu Manjung United, ADTEC FC, Legasi Setiakawan FC, MR8 FC, Batu Kurau FC dan Pencinta Setia FC.

Bagi Zon Tengah pula pada 16 Disember di Universiti Teknologi Petronas (UTP), sembilan pasukan yang akan berentap adalah Ashby Rovers, USAS FC, MHA FC, KB Young Pro, PUKEP FC, Elephant Village FC, Manjung Predators FC, Anderson All Star dan Ipoh Unity Recreation Club (IURC).

Zon Selatan pula menampilkan pasukan SKTT FC, KB Sitiawan City, Silver MAYC FC, Lumut Wanderers FC, SEMETRO FC dan Prima United yang dijadualkan pada 23 Disember di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Lama, Tanjung Malim. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram