Kehadiran bekas pemain Belgium bantutkan hasrat Ousmane Fane ke Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 05 Dis 2023

Ousmane Fane boleh diangkat sebagai antara import terbaik buat skuad Harimau Kumbang musim ini. — Facebook/Penang FC

DALAM beberapa laporan di media sosial sebelum ini, pemain tengah Penang FC, Ousmane Fane dikhabarkan sudah tidak lagi bersama pasukan itu.

Meskipun kontraknya difahamkan hanya akan tamat pada penghujung musim, tonggak import Harimau Kumbang terbabit difahamkan berbuat demikian selepas menerima tawaran dari kelab luar.

Antara pasukan yang dilaporkan berminat untuk mendapatkannya ialah kelab Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC yang berada di dasar carta selepas 21 perlawanan.

Kehilangannya tersebut sememangnya diratapi penyokong Penang FC yang khuatir sekiranya ketiadaan Ousmane hanya akan mengganggu kestabilan pasukan.

Bagaimanapun, dalam satu perkembangan terbaharu, pemain berdarah Perancis terbabit dilaporkan tidak akan menyertai Bhayangkara FC.

library_upload_21_2023_12_996x664_nainggolan-1_304e0b7

Nainggolan diumumkan sebagai pemain baharu Bhayangkara FC. Agensi

Dalam satu ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, perpindahan jeneral berusia 29 tahun gagal akibat kehadiran bekas pemain antarabangsa Belgium, Radja Nainggolan.

"Bhayangkara FC pilih Radja Nainggolan berbanding Ousmane Fane. Difahamkan, kelab Liga 1 Indonesia itu mahu lepaskan Ousmane selepas berjaya menandatangani Nainggolan pada saat akhir," tulisnya.

Isnin lalu, Nainggolan mencipta kejutan apabila menyertai pasukan bawahan Indonesia tersebut selepas kontraknya dengan kelab Itali, SPAL berakhir.

Keputusannya itu dilihat berpunca daripada susur galur keluarganya yang berasal dari negara berkenaan sebelum berhijrah ke Belgium.

Dalam perkembangan berkaitan, ketiadaan Ousmane yang difahamkan sudah tidak lagi bersama Penang FC dijangka akan menyukarkan peluang kelab Utara tanah air itu untuk bersaing pada penghujung musim 2023.

Namun, kejayaan skuad Harimau Kumbang yang mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Terengganu FC tanpa kehadirannya baru-baru ini seakan-akan memberi bayangan ketiadaannya tidak lagi begitu dirindui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram