BARU-BARU ini, hangat dibincangkan di media sosial mengenai kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjelang aksi final Piala Malaysia pada Jumaat (8 Disember).
Padang di venue yang sebelum ini digunakan untuk penganjuran konsert Coldplay dilihat tidak berada dalam keadaan memuaskan.
Isu tersebut dibangkitkan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang berkongsi kualiti semasa padang.
Selain berkongsi kepingan foto mengenai situasi terkini, TMJ turut meminta supaya Presiden Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memberikan penjelasan mengenainya.
Kualiti semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak memuaskan.
Keadaan tersebut turut mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air yang berasakan segelintir pihak tidak menghargai pemberian pemilik skuad Harimau Selatan itu dalam menambah baik imej Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, harapan ramai untuk mendapatkan penjelasan tidak kesampaian apabila Hans Isaac hanya memberi peringatan mengenai isu berbeza.
"Tolong gunakan transit aliran ringan (LRT) untuk ke Bukit Jalil minggu ini," tulisnya menerusi hantaran di Instastory peribadinya pada Selasa.
Peringatan tersebut dibuat sambil menyertakan poster perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC di venue berkenaan.
Tangkap layar daripada hantaran InstaStory Hans Isaac menjelang aksi final Piala Malaysia.
Hantaran itu sekali lagi menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan peminat bola sepak yang mahu Presiden PSM itu untuk memberi fokus kepada isu yang terus diperbualkan di media sosial ketika ini.
Sebelum ini, kualiti padang di Bukit Jalil mula mencuri perhatian ramai apabila TMJ turut berkongsi keadaan semasa di laman media sosial selepas penganjuran konsert hujung bulan lalu.
Namun, perkongsian berkenaan segera dijawab Hans Isaac yang menegaskan PSM sedang dalam usaha menukar rumput daripada tapak semaian perbadanan.
Bagaimanapun, dengan kualitinya masih belum berubah menjelang aksi Piala Malaysia itu, persoalan mengenai tahap ketersediannya sudah tentu terus menimbulkan persoalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram