‘Your formula is working’, TMJ ‘puji’ Hans Isaac urus rumput bertompok-tompok SNBJ


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Bahagian tengah padang SNBJ yang masih kelihatan bertompok-tompok menjelang final Piala Malaysia pada Jumaat. — X/TMJ

VENUE final Piała Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu (TFC) iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur nampaknya masih belum berada di tahap memuaskan untuk digunakan menjelang empat hari perlawanan berkenaan pada Jumaat (8 Disember).

Pada Isnin, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim berkongsi keadaan permukaan padang berkenaan yang dilihat masih belum siap sepenuhnya selepas kerosakan akibat dari penganjuran konsert Coldplay pada 22 November lalu.

Menerusi media sosial milik beliau, Tunku Ismail seakan-akan menyindir cara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di bawah pimpinan Datuk Hans Isaac selaku pengerusinya yang dilihat caranya menguruskan padang berkenaan seperti tidak membawa perubahan.

Good standard for the final of Malaysia cup. Looks like your formula is working (Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi),” tulis TMJ kepada Hans sambil meletakkan beberapa gambar keadaan semasa padang tajaannya itu.

WhatsApp Image 2023-12-04 at 14.26.34

Tangkap layar keadaan padang yang dikongsikan TMJ.

Usaha dari perbadanan itu bagaimanapun masih tidak berada pada tahap memuaskan dengan keadaan padang berkenaan menerima kritikan daripada penyokong bola sepak tanah air selepas melihat perkongsian gambar dari TMJ.

Tunku Ismail sebelum ini dilaporkan menyuntik dana besar dalam membantu usaha Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengubah rumput Stadium Nasional Bukit Jalil dari jenis cow grass kepada Zeon Zoysia.

Keadaan padang gelanggang rasmi Harimau Malaya itu selepas konsert dari Coldplay mendapat reaksi kurang senang daripada penyokong sehingga Tunku Ismail turut berkongsi beberapa gambar tanpa sebarang 'caption' baru-baru ini.

Sejurus daripada perkongsian TMJ di laman Insta Storynya itu, Hans juga berkongsi sekeping foto bahawa ia akan tersedia untuk digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Harimau Selatan dan Terengganu pada Jumaat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram