Harimau Malaya lonjak ke ranking 130, Kim Pan-gon catat rekod kali ketiga


  • Podium
  • Khamis, 30 Nov 2023

Malaysia kini merupakan antara 130 pasukan terbaik di dunia. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya terus mencatatkan kecemerlangan apabila terus mendaki tinggi ranking FIFA pada tahun ini.

Dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA untuk bulan November, Malaysia kendalian Kim Pan-gon telah berjaya melonjak sehingga ke tangga 130 dunia.

Berita ini telah disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kemas kini yang dikeluarkan bertarikh 30 November 2023.

Dalam kemas kini terbaharu, Harimau Malaya mencatatkan satu lagi rekod kecemerlangan apabila mendaki setinggi tujuh anak tangga dari kedudukan terdahulu iaitu 137 dunia.

"Kemas kini terbaharu ranking FIFA pada Khamis, Malaysia di tangga 130 dunia, berjaya naik 7 anak tangga berbanding 137 pada kemas kini terdahulu, 26 Oktober 2023," kata FAM dalam kenyataan mereka.

Kedudukan tersebut akan dikemas kini buat kali terakhir untuk tahun ini apabila FIFA mengeluarkan senarai baharu pada 21 Disember 2023.

7 adalah angka ajaib Malaysia.

Kecemerlangan Harimau Malaya mendaki sehingga tangga ke 130 dunia adalah hasil persembahan baik sewaktu kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.

Malaysia berjaya menang dua perlawanan kelayakan pertama iaitu menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 di Bukit Jalil sebelum menundukkan Chinese Taipei 1-0 semasa bertandang ke tempat lawan.

Rekod berjaya naik sehingga tujuh anak tangga ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh Pan-gon dan Harimau Malaya. Sebelum ini, mereka pernah melakukannya sewaktu detik awal pengendali tersebut bersama skuad kebangsaan.

Sebelum ini, Pan-gon berjaya membantu Malaysia naik sehingga tujuh anak tangga hasil daripada kecemerlangan ketika pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun 2022.

404581876_1047949262944976_6883497434035437549_n

Dion Cools main peranan penting dalam kenaikan ranking Malaysia. — Facebook/FAM

Hasil daripada kemenangan ke atas Turkmenistan dan Bangladesh pada pusingan tersebut, Malaysia berjaya mendaki daripada tangga dari 154 ke 147 dunia.

Rekod sama berjaya dilakukan oleh Pan-gon pada Mac 2023 selepas Malaysia menewaskan Turkmenistan dan Hong Kong dalam siri perlawanan persahabatan.

Hasil dua kemenangan tersebut, Malaysia berjaya naik tujuh anak tangga daripada kedudukan ke 145 kepada 138 dunia.

Berdasarkan rekod ini, boleh dikatakan angka tujuh begitu ajaib buat Malaysia apabila sudah tiga kali memainkan peranan dalam pergerakan ranking skuad kebangsaan.

Sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan, Pan-gon telah menguruskan 27 perlawanan dengan 19 daripadanya memihak Harimau Malaya. Malaysia cuma seri dua kali dan tewas enam kali.

Ini membuatkan Malaysia mencatatkan peratusan kemenangan sebanyak 70.3 peratus sepanjang adanya Pan-gon bersama skuad kebangsaan.

Sekali lagi, nombor tujuh memainkan peranan dalam kemajuan Harimau Malaya. Sememangnya skuad kita mengalami pencapaian yang cukup baik ketika bersama pengendali dari Korea Selatan tersebut.

Pertahankan kepimpinan Kim Pan-gon! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram