[VIDEO] FAM pernah gantung pengadil kerana gol kontroversi Piala Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Walaupun memboloskan gol kontroversi, tetapi KDA berjaya layak ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2015.

DALAM bola sepak, kontroversi adalah sebahagian daripada sukan tersebut. Sehingga sekarang, masih terdapat kejadian-kejadian yang menimbulkan kontroversi baik daripada pemain atau pun pengadil.

Namun itu lah yang membuatkan sukan bola sepak begitu disukai oleh penduduk bumi. Tidak kira di mana bola sepak dimainkan, pasti akan ada kontroversi berlaku.

Begitu juga di Malaysia, saban musim pasti akan ada kontroversi yang berlaku tetapi tiada yang boleh menandingi apa pada 2015 ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara PKNS FC dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, ribuan penyokong KDA begitu gembira kerana meraikan gol kedua pasukan tersebut hasil jaringan Sandro Mendoca.

Namun di saat Sandro dan kesemua pemain KDA sedang meraikan jaringan, PKNS mengambil kesempatan dengan terus melakukan sepak mula dan berjaya menghasilkan gol. Kontroversi jelas terpancar dari situasi tersebut kerana pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim yang membenarkan gol itu dikira.

Usai kejadian tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), telah mengambil tindakan menggantung Samsudin dan tiga lagi pegawai perlawanan yang terlibat dalam aksi tersebut.

Samsudin bersama-sama pembantu pengadil, Busrah Eri dan pengadil keempat, Khairul Rizal Ismail digantung sehingga ke tempoh yang diberitahu pada waktu tersebut. Seorang lagi pembantu pengadil, Asmadi Noor Hasni cuma digantung dua minggu oleh FAM.

"Mereka membenarkan PKNS untuk memulakan semula perlawanan walaupun para pemain KDA masih sedang meraikan jaringan Sandro Mendoca pada minit ke-57 di kawasan mereka.

"Oleh kerana itu, PKNS menjaringkan gol daripada kesilapan pengadil seminit kemudian menerusi Faiz Isa," kata Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Lajak terus ke 2023, segalanya mula berubah daripada situasi tersebut. KDA masih utuh menjadi salah sebuah pasukan utama di Malaysia sementara PKNS telah dijenamakan semula menjadi Selangor 2.

Samsudin sudah tidak lagi berada dalam barisan pengadil negara dan Hamidin telah naik pangkat menjadi Presiden FAM serta Ahli Majlis FIFA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram