SRI Pahang FC mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super 2023 apabila mereka tunduk kepada Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 0-2 dalam aksi di tempat lawan pada Sabtu.
Jaringan awal Heberty Fernandes pada minit keenam menyebabkan skuad Tok Gajah terus goyah dalam merencanakan gerakan sepanjang permainan.
Meskipun beberapa serangan cuba dilancarkan, kejituan benteng pertahanan pasukan pelawat menyebabkan anak-anak buah Fandi Ahmad terus buntu.
Situasi terus sukar buat tuan rumah apabila penyerang import JDT, Bergson da Silva bijak menyudahkan peluang berpunca daripada hantaran Afiq Fazail.
Bagaimanapun, jaringan tersebut membuatkan beberapa pemain Sri Pahang FC tidak berpuas hati kerana pemain tengah mereka, Kuvondik Ruziev dijatuhkan terlebih dahulu.
Sebahagian daripada mereka bertindak membantah keputusan pengadil, Razlan Joffri Ali kerana tidak meniupkan wisel atas kesalahan pemain JDT.
Persembahan Ashar dikatakan kurang meyakinkan. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, keputusan tersebut tidak menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong skuad Tok Gajah yang berasakan gol berkenaan dapat dihalang sekiranya bek kanan mereka, Ashar Al-Aafiz menutup peluang lebih awal.
Kelewatannya untuk mengejar Bergson jelas membawa padah apabila pemain dari Brazil itu mudah mengawal bola dan meletakkannya dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, ramai dilihat kurang berpuas hati dengan mutu permainan anak jati Kuantan, Pahang berkenaan.
"Apalah dibuatnya no 13 (Ashar) tu, pengadil tak tiup wisel, main sahajalah. Ini boleh pula bersenang lenang membiarkan Bergson berseorangan," kata Ebby Daniel Mokhtar.
"Susahlah tengok Ashar tu. Bola yang tidak dicabar lawan pun tidak dapat disepak menghala ke pintu gol," ujar Hassan Abdullah.
"Jika pengadil tidak hentikan permainan, tidak perlulah berhenti bermain Ashar oii. Lain kali tengoklah betul-betul Bergson tu," ujar Faiz Azim.
Kekalahan itu mengesahkan kedudukan Sri Pahang FC sebagai pasukan di tangga kelima Liga Super dengan 44 mata berjaya dikumpul dalam 25 perlawanan.
Mereka bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan terakhir musim ini dalam aksi di Stadium Cheras, KL pada 16 Disember. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram