[VIDEO] Ronaldo bagi 'flying kiss' lepas satu stadium sorak nama Messi


  • Podium
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Ronaldo dan Al-Nassr tewas kepada Al-Hilal dalam 'top of the table clash' Saudi Pro League. — Facebook/Al-Nassr

SEHINGGA hari ini, masih lagi terdapat perseteruan hebat dalam kalangan penyokong mengenai dua pemain iaitu Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Walaupun Ronaldo dan Messi tidak lagi beraksi di Eropah, tetapi perbandingan tetap dilakukan sedangkan kedua-duanya beraksi dekat benua berbeza.

Ronaldo bersama-sama Al-Nassr di Arab Saudi sementara Messi lebih santai dengan bermain bola sepak bersama-sama Inter Miami dekat Amerika Syarikat.

Sungguh pun berbeza lokasi bermain, tetapi penyokong masih cuba mencari jalan untuk mengganggu tumpuan salah satu pemain terutamanya Ronaldo.

Dalam aksi Saudi Pro League menentang Al-Hilal di tempat lawan, Ronaldo 'menerima' sorakan padu oleh penyokong pasukan tersebut tetapi bukan menyebut namanya.

Sebaliknya, penyokong Al-Hilal menyorak nama Messi kepada Ronaldo sewaktu para pemain kedua-dua pasukan menuju ke terowong sewaktu rehat separuh masa.

Ketika satu stadium menyorak nama Messi dengan tujuan untuk menyakitkan hati Ronaldo, pemain Portugal itu mengambil jalan damai apabila memberikan flying kiss kepada semua penyokong Al-Hilal.

Itu adalah sebahagian daripada detik menarik kedua-dua pasukan selain turut dihiasi dengan kontroversi.

Dalam perlawanan yang dimenangi Al-Hilal dengan jaringan 3-0, gol kedua pasukan tersebut dihasilkan oleh Aleksandar Mitrovic ketika situasi sepakan penjuru.

Namun gol itu tidak disenangi oleh Ronaldo dan rakan sepasukan kerana mendapati Mitrovic menolak pemain Al-Nassr sewaktu cuba menanduk masuk bola ke gawang yang dijaga Nawaf Alaqidi.

Ronaldo dan rakan-rakan menyerang pengadil untuk mempertikai keputusan tersebut namun gol itu tetap dikira sah dengan Al-Hilal berjaya mematahkan semangat juang Al-Nassr.

Sergej Milinkovic-Savic membuka jaringan untuk Al-Hilal pada minit ke-64 sebelum jaringan berganda Mitrovic pada minit ke-89 dan 90+3 memberikan kemenangan untuk tuan rumah.

Al-Hilal kini memimpin carta Saudi Pro League dengan 41 mata selepas 15 perlawanan. Mereka meninggalkan Al-Nassr yang berada di kedudukan kedua dengan perbezaan tujuh mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram