Homebois realistik boleh jadi big 3, Team SMG elak ulang silap sama


  • Podium
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Pasukan Homebois dan Team SMG ketika Majlis Pelepasan Pasukan Esports Profesional Malaysia ke M5 MLBB 2023 di Parlimen pada Isnin lalu.

DEBARAN kian dirasai buat komuniti e-sukan tanah air khususnya dalam permainan video Mobile Legends apabila dua wakil negara, pasukan HomeBois dan Team SMG sedang dalam persiapan untuk Kejohanan Dunia Siri Ke-5 (M5) Mobile Legends Bang Bang (MLBB) 2023 di Manila, Filipina yang bermula pada Sabtu.

Dua wakil kebangsaan itu akan bersaing menentang 14 pasukan antarabangsa yang lain untuk merebut hadiah lumayan bernilai AS$900,000 (RM4.2 juta) dan gelaran pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) terbaik dunia.

Pasukan Homebois yang layak ke kejohanan dunia selepas menjuarai musim ke-12 Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia optimis bahawa mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lawan di M5 nanti.

WhatsApp Image 2023-12-01 at 20.38.07

Daddyhood (dua dari kiri) dan Bobby (dua dari kanan) bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim.

Pengasas pasukan e-sukan terkenal tanah air Homebois, Daddyhood atau nama sebenarnya Nureddy Nursal yakin bahawa anak-anak buahnya mampu mengekalkan momentum untuk mengejar posisi ‘big 3’ di kejohanan dunia itu.

“Saya rasa secara realistiknya insya-ALLAH kita akan jadi big 3 dalam world series ini memandangkan Malaysia ada potensi yang baik ketika di kejohanan luar.

“Dua atau tiga daripada pemain saya dan staf kejurulatihan kita bawa balik pingat perak semasa Sukan SEA dan saya yakin dengan momentum mereka. Kita sasar dari Januari lagi untuk ke M5 dan insya-ALLAH kita akan buat yang terbaik di sana,” katanya ketika ditemui Majoriti.

Daddyhood optimis bahawa perjalanan di peringkat kumpulan kejohanan M5 akan mudah untuk dilepasi Homebois, terutamanya apabila takdir dituliskan bahawa mereka tidak bertemu pasukan gergasi nanti.

Homebois yang diundi dalam Kumpulan D itu akan menghadapi tentangan daripada Geek Fam (Indonesia) TheOhioBrothers (Amerika Syarikat) dan Deus Vult (Rusia).

“Tekanan tiada sebab kita memang yakin dengan anak-anak buat saya. Mereka baru balik dari MPLI (MPL Invitational). 16 pasukan dihantar dan kita juga berada dalam dua ranjau terbaik. Nombor satu Filipina, nombor dua Malaysia. Saya yakin di M5 lebih mudah kerana kita tak banyak bertembung dengan pasukan gergasi.

“Mereka memandang kita pun sebagai pencabar di M5. Kami dah jumpa pasukan Indonesia di MPLI baru-baru ini dan kami kutip poin di situ. Siapa pun kita jumpa kena hadap dalam Group D itu dan secara realistik, kita akan dapat ke peringkat seterusnya," ujarnya.

Sementara itu, bagi Team SMG yang berjaya melayakkan diri menerusi M5 Wild Card berharap kesilapan semasa kejohanan M3 pada musim 2021 tidak berulang lagi dalam saingan M5 tahun ini.

Pengurus Team SMG, Lai Mun Pin atau lebih mesra dengan panggilan Bobby berkata, pasukannya banyak melakukan analisis daripada kejohanan sebelum ini dan mengharapkan agar usaha berkenaan akan membantu mereka menghuni kedudukan tiga teratas kejohanan.

"Kali terakhir penampilan kami di M3 dan ia adalah pengalaman tidak menyenangkan. Jadi di M5 ini kami nak baiki apa yang kami tak buat bagus di kejohanan sebelum ini. Kami buat lebih banyak analisis untuk bantu pemain untuk capai sasaran.

"Sasaran kami nak jadi lebih baik dari M3. Semestinya top 3 adalah target kerana sebelum ini kami berada dalam kelompok 13 ke 16 semasa M3. Saya rasa lepas kami dah lepas wild card, kami dah kurang tekanan. Kami lagi tekanan semasa wild card berbanding untuk M5 ini," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram