Wakil Singapura pencabar Selangor, JDT tebus kontrak Hidalgo


  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Hidalgo merupakan tonggak utama dalam barisan serangan skuad Sang Kenari musim ini. — Instagram/manu_hidalgo99

KURANG dari satu minggu, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan perpindahan beberapa tonggak kelab di Liga Malaysia (Liga M) itu.

Sebelum ini, nama penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza dan tonggak utama Kelantan United FC, OJ Porteria antara pemain yang mendapat perhatian beberapa kelab.

Meskipun begitu, ada di antara pemain Liga M masih memilih untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super iaitu tonggak utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo.

Difahamkan bahawa pemain sayap dari Argentina tersebut dikatakan sedang dirisik pencabar takhta Liga 1 Indonesia 2023/24, Persib Bandung.

Sebelum menyarung jersi Hijau Kuning, Hidalgo yang pernah beraksi untuk Sri Pahang FC masih mempunyai baki kontrak selama satu musim namun difahamkan pengurusan KDA FC telah menebus kontrak tersebut dengan jumlah nilai yang cukup besar.

WhatsApp Image 2023-11-30 at 18.24.32

Hidalgo memilih untuk kekal bersama KDA FC walaupun dirisik kelab Persib Bandung. — Instagram/manu_hidalgo99

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang dilihat mampu untuk menebus kontrak tersebut antaranya Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC dan Lion City Sailors.

1) Johor Darul Takzim

Juara bertahan Liga Super, JDT antara pasukan yang dilihat tidak mempunyai masalah kewangan dalam membawa masuk pemain baharu ke kelab tersebut.

Seperti yang diketahui, JDT merupakan kelab yang mahu bersaing di peringkat domestik mahupun antarabangsa, ia dapat dilihat apabila Harimau Selatan berjaya membawa masuk beberapa pemain import yang berkualiti ke pasukan itu.

akhyar

Akhyar menyertai JDT selepas beberapa musim bersama Kedah.

Sekiranya khidmat Hidalgo ditagih untuk musim depan, tentunya ia bukan masalah utama Harimau Selatan menebus kontrak pemain berusia 24 tahun itu.

Hal ini kerana, sebelum ini, JDT pernah mendapatkan khidmat bekas pemain sayap Sang Kenari, Akhyar Rashid melalui tebus kontrak.

2) Selangor FC

Pasukan Selangor FC merupakan antara kelab yang juga dilihat mampu untuk menebus kontrak Hidalgo.

Ia berikutan kerana setakat ini, Selangor masih belum mempunyai sebarang masalah dalaman khususnya isu gaji.

Faisal Halim Selangor FC

Masa depan Faisal Halim bersama Selangor juga menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, Selangor masih berpeluang mendapatkan khidmat Hidalgo untuk musim depan sekiranya tonggak utama Gergasi Merah, Faisal Halim berhijrah ke JDT.

Tentunya, kekosongan di bahagian sayap Gergasi Merah bakal diisi oleh Hidalgo.

3) Lion City Sailors

Selain JDT dan Selangor FC, salah satu kelab di Singapura juga dilihat mempunyai peluang untuk mendapatkan khidmat pemain KDA FC itu.

Lion City Sailors antara kelab yang sesuai untuk mendapatkan khidmat Hidalgo musim depan kerana dilihat mampu memperkuatkan jentera serangan pasukan itu.

Pastinya kehadiran Hidalgo ke kelab tersebut akan membantu pasukan kendalian Aleksandar Rankovic mengungguli carta Liga Singapura.

Sekiranya masalah gaji yang dialami oleh KDA FC ketika ini tidak menemui penyelesaian, pastinya isu tersebut boleh mendesak Hidalgo untuk mencari kelab luar negara pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram