Hidalgo, King Dayo antara 3 kena awasi — Cheng Hoe


  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Cheng Hoe (kanan) waspada dengan taktikal dan helah yang bakal ditampilkan oleh KDA FC. — Facebook/Selangorfc

PERTEMUAN antara Selangor FC berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal menyajikan aksi sengit dalam saingan Liga Super 2023.

Ia merupakan perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan untuk bergelar naib juara Liga Super sekali gus layak bersaing dalam Pentas Asia musim depan.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu barisan hadapannya tampil hebat dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Selangor kini berada di tangga kedua liga dengan 55 mata daripada 24 perlawanan, dua mata di depan Kedah di tempat ketiga, yang mempunyai 53 mata daripada 24 perlawanan.

WhatsApp Image 2023-12-01 at 16.57.40 (1)

Shahrul Nazeem pastinya mampu menggalas tugas untuk menjaga benteng pertahanan Gergasi Merah daripada dibolosi KDA FC. — Facebook/Selangorfc

Cheng Hoe, yang pernah melatih Kedah dari 2014-2017 berkata, penyerangnya, Ayron Del Valle dan pemain sayap, Faisal Halim sudah melakukan tugas yang baik tetapi perlu melakukan lebih banyak lagi.

“Ayron Del Valle adalah penjaring terbanyak liga manakala Faisal adalah baik untuk kelab dan negara. Kami memerlukan mereka untuk meneruskan prestasi yang mereka ada dan memberikan yang terbaik menentang Kedah.

“Sekiranya kedua-dua ini berada dalam senarai, yang lain pasti akan meningkat juga. Kemenangan menentang Perak FC (4-0) membantu kami dari segi motivasi dan momentum.

“Ketika ini, pemain kami tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun penggantungan. Itu baik untuk kami," katanya.

Cheng Hoe bagaimanapun tetap waspada dengan taktikal dan helah yang bakal ditampilkan oleh KDA FC di bawah kendalian Nafuzi Zain itu.

"Sang Kenari mempunyai beberapa pemain tengah yang berkualiti seperti pemain kebangsaan Bahrain, Moses Atede dan pemain kelahiran Filipina, Manuel Ott.

"Mereka juga mempunyai penyerang yang berbisa, Ifedayo Olusegun yang pernah bermain untuk Selangor dan pemain sayap Argentina, Manuel Hidalgo juga boleh menjadi lawan yang sukar.

“Kami tahu Kedah memiliki kelebihan di Darul Aman. Mereka berjaya mengikat Johor Darul Takzim (JDT) 3-3 di Alor Setar. Itu adalah satu persembahan yang mengagumkan.

“Kami perlu berhati-hati tentang peralihan serangan kami. Satu kesilapan kecil sahaja dan Kedah boleh menghukum kami dengan hantaran pantas mereka. Pemain seperti Ott, Hidalgo dan Ifedayo, kita harus berhati-hati," ujarnya.

Ditanya mengenai prospek berdepan bekas kelabnya, Cheng Hoe berkata, Kedah sentiasa di hati namun saya perlu fokus kepada Selangor.

“Kedah sentiasa di hati saya. Saya banyak luangkan masa bersama mereka, pemain yang kami bangunkan dan permainan yang kami mainkan, semuanya terpahat di hati saya.

“Tetapi sekarang, saya fokus kepada Selangor," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram