JARINGAN cantik pemain tengah Bukit Tambun, Husnul Irsal Amran menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas rembatan sejauh 70 meter itu berjaya menerjah gawang, sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-1 buat pasukannya mengatasi Kuala Lumpur (KL) Rovers dalam saingan Liga M3 pada Isnin lalu.
Susulan jaringan tersebut, ramai penyokong tanah air berasakan gol tersebut layak untuk dimasukkan dalam Anugerah Puskas.
Bagaimanapun, tampil mengulas perkara tersebut, anak kelahiran Pulau Pinang itu tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi trofi Puskas sebaliknya bersyukur sekiranya gol terbabit berjaya tercalon.
"Bukan mudah nak tercalon ke Puskas, tapi jika dapat disenaraikan saya dah cukup gembira. Tapi saya tak letak harapan tinggi kerana saya tahu bukan senang," katanya.
Pemain tengah Bukit Tambun, Husnul Irsal menghasilkan jaringan cantik ketika berdepan KL Rovers. — Facebook/Amateur Football League
Terdahulu, salah sebuah media antarabangsa ternama, Bleacher Report menganggap gol pemain sayap negara, Safawi Rasid ke gawang Kepulauan Solomon layak untuk dimasukkan dalam Anugerah Puskas.
Malah, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tampil memberi pengiktirafan kepada jaringan bintang Harimau Malaya itu.
Pemain berusia 26 tahun itu memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin apabila melakukan kawalan bola yang sangat baik dan membuat rembatan dengan kaki kiri sekaligus menjaringkan gol ketiga negara.
Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, skuad kebangsaan berjaya menewaskan Kepulauan Solomon dengan keputusan 4-1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kuala Nerus, Terengganu pada Jun lalu.
Berikutan perkara itu, melihat kepada jaringan cantik yang dihasilkan oleh Husnul Irsal dijangka akan memberi saingan kepada bintang Harimau Malaya, Safawi untuk merebut Anugerah Puskas tersebut.
Malaysia pernah mencipta sejarah hebat dalam arena bola sepak di Asia apabila Mohd Faiz Subri dinobatkan selaku pemenang Anugerah Puskas pada 2016.
Untuk rekod, Faiz Subri menjadi pemain Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Puskas menerusi jaringan yang disifatkan melawan hukum fizik yang dilakukannya ketika aksi Liga Super menentang Sri Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram