[VIDEO] Safawi dah boleh angkat bendera putih, aksi akrobatik penyerang Brazil dianggap pemenang Puskas


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Aksi ketika Lucca menjaringkan gol yang dikatakan bertaraf Anugerah Puskas itu. — Agensi

CALON bagi Anugerah Puskas anjuran FIFA tahun ini nampaknya sudah boleh mengangkat bendera putih apabila pemain kelab Serie A Brazil, Internacional, Lucca Holanda mencetak jaringan gol memukau.

Jaringan tersebut dicetak pada minit ke-49 perlawanan Copa do Brasil Bawah 20 tahun (B-20) menentang Gremio yang berakhir dengan keputusan tidak memihak kepada Internacional.

Aksi yang diheret ke penentuan penalti selepas seri 1-1 itu menyaksikan pasukan Internacional mensia-siakan sepakan kelima mereka sehingga menggagalkan pasukan tersebut untuk ke peringkat seterusnya.

Walaupun malam yang buruk untuk pasukan Internacional kerana tewas 3-5 pada penentuan sepakan penalti namun ia menjadi detik menggembirakan buat pemain berusia 20 tahun, Lucca apabila jaringannya mencuri perhatian penyokong bola sepak.

Selepas menerima hantaran hasil tandukan rakan sepasukan, pemain berusia 20 tahun itu tenang menguis bola ke udara menggunakan kaki kanannya.

Menyedari semakin ramai pertahanan lawan mengelilinginya, Lucca tidak berfikir panjang untuk melakukan percubaan akrobatik yang menyaksikan bola melambung melepasi penjaga gol Gremio.

“Perlumbaan untuk Anugerah Puskas berakhir selepas gol cantik daripada Lucca untuk Internacional di Brazil malam tadi (Selasa),” kata laman penyokong, Football Tweet.

Gol memukau dari penyerang muda itu nampaknya akan memberi saingan kepada bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid ketika meledak gol ketiga semasa menewaskan Kepulauan Solomon pada 14 Jun lalu.

Sebelum ini, badan pentadbir bola sepak antarabangsa tersebut melabelkan gol berkenaan sebagai menarik dan sudah pun diletakkan dalam senarai berpotensi untuk merebut Anugerah Puskas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram