[VIDEO] Tidak rakus kejar gelaran 'top scorer', 3 bintang pemurah lebih selesa beri 'assist'


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Arif Aiman antara pemain Liga Malaysia yang paling banyak membuat hantaran bantuan dengan 14 assist. — Facebook/SelangorFC

GELARAN sebagai penjaring terbanyak untuk sesebuah liga pasti menjadi idaman semua pemain untuk mengecapinya sekurang-kurangnya sekali dalam karier mereka terutamanya tonggak yang membarisi barisan depan kelab.

Namun, tidak semua pemain mengejar matlamat sama apabila ada di antara mereka kekal merendah diri dan memilih menjadi watak kedua di sebalik pencapaian seorang tonggak yang bergelar penjaring terbanyak.

Watak kedua dimaksudkan ialah seseorang pemain yang banyak mencipta hantaran bantuan untuk dilorong kepada rakan sepasukan bagi menghasilkan jaringan gol untuk kelab dan secara tidak langsung berkemungkinan akan menyumbang kemenangan buat skuad mereka.

puskas

Puskas menjadi pemain paling banyak di dunia membuat hantaran bantuan. — Agensi

Jika dilihat pada rekod sepanjang masa dalam dunia bola sepak, pemain antarabangsa Hungary iaitu Ferenc Puskas menjadi pemain paling banyak mencipta hantaran bantuan dengan 404 assist dalam 719 penampilan perlawanan dia diturunkan.

Itu kisah pemain bola sepak dunia tetapi jika berbicara pada saingan Liga Malaysia (Liga M) khususnya musim ini, terdapat beberapa pemain dilabel sebagai antara tonggak yang murah hati untuk memberi hantaran bantuan.

Berdasarkan statistik semasa di laman Transfermarket, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang baik hati memberi hantaran bantuan kepada rakan sepasukan mereka;

1) Arif Aiman Hanapi

arif

Arif Aiman antara ayam tambatan JDT. — Facebook/JDT

Dua minggu kebelakangan ini, nama pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi tumpuan penyokong domestik dan luar negara apabila dia dipilih sebagai antara 11 pemain terbaik bagi aksi kedua peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Penghormatan itu diberi kepada pemain berusia 21 tahun itu selepas dia membantu mencetak dua jaringan gol ketika aksi kemenangan Harimau Selatan ke atas BG Pathum United dengan keputusan 4-2.

Jaringan penyerang sayap kebangsaan itu juga disenaraikan dalam 10 jaringan terbaik bagi aksi kedua peringkat kumpulan kejohanan berkenaan bersama bintang bola sepak dunia, Neymar yang mewakili kelab Arab Saudi, Al Hilal.

Selain menjaringkan jaringan gol di pentas antarabangsa, anak jati kelahiran Pahang itu juga menjadi pemain Liga Malaysia yang paling banyak membuat hantaran bantuan dengan 14 assist.

Untuk rekod, Pemain Paling Berharga (MVP) Liga Malaysia pada 2021 dan 2022 itu mencipta 12 hantaran bantuan di saingan Liga Super dan satu lagi di pusingan Piala Malaysia menerusi perlawanan menentang Kelantan FC.

2) Saddil Ramdani

Penyerang sayap Indonesia, Saddil Ramdani sememangnya menikmati karier bola sepaknya bersama Sabah FC apabila menjadi pemain yang paling bermurah hati untuk memberikan hantaran bantuan kepada rakan sepasukannya.

Jika dilihat pada saingan domestik yang meliputi saingan Liga Super dan Piala Malaysia, pemain lincah itu sudah merekodkan sebanyak 13 hantaran bantuan untuk membantu pasukan The Rhinos pada musim ini.

Nama pemain berusia 24 tahun itu semakin meningkat naik apabila baru-baru ini Saddil juga mencipta hatrik dalam perlawanan menentang PSM Makassar yang membawa kemenangan 5-0 untuk Sabah FC bagi aksi kedua saingan Kumpulan H, Piala AFC.

Dua jaringan gol dari Darren Lok dan satu lagi menerusi tandukan Gabriel Peres menjadi pemain yang menerima hantaran bantuan daripada Saddil dalam perlawanan menang besar ke atas juara Liga 1 Indonesia musim 2022/23 itu.

3) Yohandry Orozco

orozco

Yohandry Orozco antara membuat 11 hantaran bantuan. — Facebook/SelangorFC

Walaupun kemasukannya pada jendela perpindahan Januari lalu, pemain tengah kelahiran Venezuela, Yohandry Jose Orozco Cujia mencetuskan kontroversi namun dia menjadi antara tonggak import kegemaran Selangor FC.

Arkitek tengah Gergasi Merah itu sebelum ini terpalit kontroversi selepas dilabel mata duitan dan menggunakan 'pintu belakang' berikutan membatalkan persetujuan ke kelab Colombia, Atletico Bucaramanga demi berhijrah ke Selangor FC.

Namun pemain berusia 31 tahun itu membuktikan bahawa dakwaan orang ramai adalah salah dengan menjadi antara pemain yang paling banyak merekodkan hantaran bantuan untuk Gergasi Merah pada musim ini.

Dalam saingan Liga Super sahaja, Yohandry Orozco sudah membuat 10 hantaran bantuan dalam 21 perlawanan dia diturunkan dan satu lagi assist dicipta pada saingan Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram