Jadikan Marcus Rashford sebagai panduan, Safawi bersyukur tinggalkan takraw pilih bola sepak


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Safawi menjaringkan gol cantik ketika bertemu Kepulauan Solomon pada Julai lalu. — Facebook/FAM

SIAPA yang mengingati gol cantik yang dijaringkan oleh Safawi Rasid bersama Harimau Malaya ketika menentang Kepulauan Solomon sehingga tercalon bagi Anugerah Puskas FIFA tahun ini.

Safawi sebelum ini mengakui teknik gol itu mengingatkannya dengan permainan sepak takraw yang mana dia pernah bermain sukan itu ketika di bangku sekolah.

Bercakap mengenai Safawi dan sepak takraw, penyerang sayap kebangsaan itu pernah mengakui bahawa bertukar daripada sukan tersebut kepada bola sepak adalah keputusan terbaik yang pernah dibuatnya.

Menerusi laporan media pada 29 Ogos 2017, pemain kelahiran Terengganu itu tidak pernah membayangkan dia akan berada di kemuncak sukan itu dalam tempoh tiga tahun selepas menyertai bola sepak pada 2014.

Berasal dari Kampung Bukit Chatak di Dungun, Terengganu, pemain berusia 26 tahun itu menyinar ketika menyumbang dua gol dalam lima perlawanan di Sukan SEA 2017.

Tidak ramai yang tahu dia adalah pemain sepak takraw negeri sehingga berusia 16 tahun dan ketika tingkatan 5, dia memutuskan untuk menggugurkan sukan itu bagi mengejar kerjaya bola sepak secara serius.

WhatsApp Image 2023-08-29 at 11.47.37

Safawi ketika bersama skuad kebangsaan untuk Sukan SEA 2017. — Facebook/FAM

Safawi menyertai persediaan remaja T-Team pada 2014 dan bermain bersama pasukan senior pada musim 2015-2016.

Johor Darul Takzim (JDT) yang memantau bakatnya pantas menyambar pemain yang gemar melakukan sepakan percuma dan pukulan jarak jauh itu pada musim 2017.

Ketika aksi Sukan SEA 2017, Safawi membuka kempen Malaysia dengan pukulan voli menentang Brunei dan kemudian menambah satu lagi daripada tandukan menentang Myanmar.

Walaupun pada 2017, Safawi masih pendatang baharu namun bersama JDT, bekas pemain Ratchaburi FC itu sudah biasa dengan permainan yang mempunyai ramai penonton di hampir setiap perlawanan.

"Saya tidak akan mengatakan saya tidak gementar sebelum perlawanan besar kerana saya mempunyai rakan sepasukan di sekeliling saya.

"Gaya saya adalah mencari ruang terbuka dan mengeksploitasinya, itulah sebabnya saya cenderung untuk merembat dari jauh,” kata peminat Manchester United itu.

Dalam laporan media itu juga, Safawi berkongsi bahawa penyerang sayap Manchester United adalah pemain kegemarannya kerana kepantasan, bijak menggunakan kaki dan klinikal di hadapan gawang.

Kini, walaupun kurang minit permainan bersama JDT namun tidak dapat dinafikan bahawa Safawi adalah wajah utama untuk skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram