SRI Pahang FC meneruskan momentum kemenangan apabila mudah menewaskan Kelantan United FC dengan keputusan 5-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.
Menurunkan barisan terkuat menentang pasukan kedudukan ke-12, Tok Gajah tidak menunggu lama untuk menerjah gawang gol Kelantan United menerusi rembatan roket Azrif Nasrulhaq pada minit ke-10 perlawanan.
Ia merupakan jaringan pertama Azrif musim ini bersama Sri Pahang.
Kapten Sri Pahang, Sergio Aguero terus menambah duka Kelantan United apabila menjaringkan dua gol menerusi rembatan pada minit ke-22 dan 27 permainan.
Dua gol yang dijaringkan Aguero itu dibantu oleh Kpah Sherman.
Pemain-pemain Pahang meraikan jaringan roket yang dilakukan Azrif. — Facebook/Sri Pahang
Tamat separuh masa pertama, keputusan kekal 3-0 yang mana Sri Pahang dilihat lebih mendominasi perlawanan di separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan United ibarat mendapat tonik baharu selepas dilihat lebih banyak menyerang ke kubu pertahanan Sri Pahang.
Pelbagai percubaan yang dilakukan oleh pemain import Kelantan United, Ismaheel Akinade namun tidak mengenai sasaran.
Pengendali Kijang Hijau, Ailton dos Santos melakukan beberapa pertukaran apabila membawa masuk Morgaro Gomis, Sharvin Selvakumaran dan Inda Putra Mahayuddin untuk mencari jaringan.
Dalam kelekaan untuk mencari jaringan, gandingan duo Lucas Silva dan Kpah berjaya menambah jaringan keempat Sri Pahang pada minit ke-66 dengan satu tandukan mudah.
Kijang Hijau tidak berputus asa apabila pemain gantian, Royizzat Daud berjaya menjaringkan gol sagu hati buat Kelantan United apabila merembat bola masuk ke gawang gol Pahang.
Pemain gantian Sri Pahang, David Rowley menutup jaringan Sri Pahang dengan satu tampanan mudah selepas menerima hantar dari rakan sepasukan pada minit ke-93.
Aguero berjaya menjaringkan dua gol ketika menewaskan Kelantan United. — Facebook/Sri Pahang
Keputusan kekal 5-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Fitri Maskon sekali gus Pahang berjaya membawa pulang tiga mata berharga untuk memperkukuhkan pasukan di kelompok lima terbaik Liga Super.
Penyokong Sri Pahang ternyata gembira dengan corak permainan yang ditampilkan anak-anak buah Fandi Ahmad.
Lucas Silva yang baru pulih daripada kecederaan juga turut mendapat kata-kata positif daripada penyokong Pahang selepas dia bermula perlahan musim ini.
"Sergio Aguero 'the real master mind', pemain yang sangat kreatif untuk Sri Pahang malam ini (Ahad)," kata Muhd Firdauss.
"Boleh pakai juga Lucas Silva ini, mula-mula masuk macam habiskan beras sahaja," ujar Jefri Ramli.
"Padu rembatan Azrif itu, luar kotak penalti pula. Harap Sri Pahang dapat simpan dia daripada duduk dekat bangku simpanan JDT," luah Aiman Syahmi.
"Mantap Aguero, bagi panas badan untuk perlawanan FIFA lawan Syria dengan China September depan," jelas Muhd Hasnol Hazim.
Selepas ini Sri Pahang bakal berkunjung ke Stadium Kuala Lumpur dalam misi untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia pada 15 September nanti.
Manakala Kelantan United pula akan melayani kunjungan Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super pada 4 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram