Sehebat JDT, legenda Chelsea percaya Liverpool mampu lakar kejuaraan quadruple


  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Liverpool kini berada dalam rentak terbaik untuk mencatatkan rekod baharu dengan menjulang empat trofi semusim. — Agensi

KEMENANGAN 4-0 direkodkan Liverpool ketika berdepan kelab Austria, LASK dalam aksi Liga Europa UEFA (UEL) di laman sendiri pada awal pagi Jumaat meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan E, sekali gus mengesahkan tempat mereka dalam peringkat kalah mati.

Kejayaan mengumpul tiga mata penuh itu turut menyaksikan skuad The Reds berada dalam prestasi terbaik musim ini dengan hanya dua kekalahan direkodkan.

Malah, kedudukan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) juga tidak boleh diperlekehkan apabila mereka menduduki tangga ketiga selepas 13 perlawanan.

Sekiranya keputusan cemerlang terus direkodkan, tiada sebab buat pasukan kendalian Jurgen Klopp untuk meraih pencapaian demi pencapaian sepanjang musim.

joe_cole

Joe Cole percaya akan kebolehan serta kualiti skuad Liverpool musim ini. Agensi

Sasaran berkenaan turut diakui bekas pemain The Reds, Joe Cole memandangkan Liverpool mempunyai kualiti skuad yang baik untuk bersaing dalam semua pertandingan, seperti laporan Euro Sport.

"Mereka sedang mempamerkan aksi terbaik dalam empat kejohanan musim ini, mereka mempunyai pemain dan pasukan yang lengkap untuk bersaing.

"Anda hanya perlu lihat kepada pemain di setiap posisi, mereka semua mempunyai pemain bersinar di peringkat antarabangsa dan bertaraf dunia," katanya selepas perlawanan.

Tambah Cole yang juga merupakan legenda Chelsea, Liverpool ketika ini mempunyai skuad lengkap dalam hampir kesemua aspek berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Liverpool berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan England pertama menjuarai empat kejohanan semusim dengan mereka kini masih bersaing dalam EPL, UEL, Piala Liga serta Piala FA.

1839669

JDT merupakan antara pasukan yang pernah menjulang empat kejuaraan dalam tempoh semusim.

Berdasarkan rekod lalu, hanya beberapa pasukan seluruh dunia pernah menjulang kejuaraan 'quadruple' dengan kelab Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) merupakan salah satunya.

Pencapaian tersebut diraih musim lalu apabila skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia serta Piala Sumbangsih.

Selain itu, kejayaan berkenaan juga pernah dirasai seteru utama Liverpool iaitu Manchester City yang membawa pulang kesemua empat piala di peringkat domestik pada 2019.

Rekod 'quadruple' hampir dipecahkan skuad The Cityzens musim lalu apabila mereka muncul juara dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL), EPL dan Piala FA, namun gagal membawa pulang Piala Liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram