MANCHESTER City terpaksa berkongsi satu mata dengan Liverpool selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, Manchester pada Sabtu.
Jaringan menerusi bek kanan The Reds, Trent Alexander-Arnold pada minit ke-80 sudah cukup buat Liverpool mencuri satu mata berharga dan menidakkan gol pendahuluan City yang dihasilkan penyerang berbisa, Erling Haaland.
Selain daripada pertembungan sengit tersebut, momen pertengkaran antara penyerang Liverpool, Nunez dengan pengendali City, Pep Guardiola selepas wisel penamat berbunyi menjadi tumpuan dalam perlawanan berkenaan.
Dua individu itu dilihat berjabat tangan sebelum Nunez kelihatan meluahkan kemarahannya terhadap sesuatu yang seolah-olah ada perkara dilakukan atau diperkatakan oleh pengendali kelahiran Sepanyol berkenaan.
Mengelak pergaduhan semakin berpanjangan, Jurgen Klopp terpaksa campur tangan untuk menarik penyerangnya daripada bertentang mata dengan Guardiola yang juga ditenangkan oleh seorang staf Liverpool.
Guardiola ditanya secara langsung mengenai insiden itu selepas perlawanan di Sky Sports, bekas pengendali Barcelona menafikan ada pertelingkahan berlaku antaranya dengan Nunez.
“Tiada apa-apa yang berlaku. Dia lebih kuat daripada saya! Tidak ada masalah,” katanya ketika ditanya mengenai insiden dengan pemain antarabangsa Uruguay itu dalam sidang akhbar selepas perlawanannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram