[VIDEO] Messi 'koyak', cekik pemain Uruguay lepas tewas kelayakan Piala Dunia


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Tangkap layar Messi mencekik leher pertahanan Uruguay, Mathias Olivera.

KELAYAKAN Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan mungkin baru bermula tetapi Argentina mahupun Uruguay tidak mengambil mudah permainan mereka apabila berlaku adegan panas selepas beberapa beberapa minit dalam aksi derbi pada Jumaat itu.

Malah pemenang Ballon d'Or buat kali kelapan, Lionel Messi juga tidak dapat menahan diri apabila campur tangan mencekik leher pertahanan Uruguay, Mathias Olivera semasa bek kiri Napoli itu dalam pergaduhan dengan Rodrigo De Paul.

Meskipun kekacauan berlaku, pengadil bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang kad kuning atau merah, dan permainan diteruskan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Malah, Messi juga tidak seperti biasa yang kekal tenang apabila melihat dia mencengkam leher pemain lain.

Walaupun keadaan menjadi hangat sejak awal, kedua-dua pasukan cuba meneruskan dan terus mencari gol pembukaan namun Argentina bergelut untuk mencari jalan melepasi pertahanan Uruguay.

Skuad La Celeste sebaliknya, memanfaatkan kesilapan pemain tuan rumah tuan rumah sendiri apabila Ronald Araujo berhasil meletakkan pelawat di hadapan dan akhirnya membuatkan Emiliano Martinez dibolosi kali pertama sejak final Piala Dunia 2022.

Penyerang Liverpool, Darwin Nunez memastikan kemenangan mutlak menerusi gol minit ke-87 dalam pertembungan sengit di Stadium Bombonera di Buenos Aires itu.

Argentina yang memenangi kesemua empat perlawanan kelayakan pembukaan mereka, bagaimanapun masih kekal di tangga teratas dengan 12 mata daripada lima perlawanan dan berada dua mata di hadapan Uruguay.

Dalam pada itu, bekas bintang Barcelona itu juga sempat mengulas situasi tegang antaranya dengan Olivera dengan dia menyifatkan bahawa pemain muda perlu menunjukkan rasa hormat dengan pemain senior.

“Saya lebih suka tidak mengatakan apa yang saya fikirkan tetapi (orang muda) perlu belajar. Mereka mempunyai pemain yang baik. Tetapi mereka perlu belajar daripada veteran bagaimana untuk menghormati. Permainan ini sentiasa sengit jangan lupa sikap menghormati. Mereka perlu belajar sedikit benda itu,” katanya selepas perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram