[VIDEO] Gara-gara jersi The Citizens, Pep 'upah' penyokong bantai Salah sebelum aksi Liverpool-City


  • Podium
  • Isnin, 20 Nov 2023

Tangkap layar ketika penyokong tuan rumah cuba mendekati Salah. — X/Yusof Mafin

BINTANG Liverpool, Mohamed Salah dikawal oleh pegawai tentera selepas penyerang itu menjadi sasaran penyokong pasukan tuan rumah yang menceroboh padang semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia, Mesir menentang Sierra Leone pada Isnin.

Skuad kendalian Rui Vitoria menewaskan Sierra Leone 2-0 dalam saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia dengan dua jaringan daripada bekas penyerang Aston Villa, Trezeguet yang mengesahkan kemenangan kedua mereka minggu ini.

Malangnya, aksi tersebut dicemari oleh beberapa adegan yang tidak menyenangkan pada lewat akhir perlawanan apabila sekumpulan penyokong pasukan Sierra Leone bertindak menceroboh padang.

Seperti rakaman tular di media sosial, salah seorang peminat cuba mendekati Salah ketika kekecohan berlaku di Stadium Samuel Kanyon Doe di Liberia itu.

Kakitangan keselamatan segera mengheret mereka yang terlibat dari tempat kejadian dan berdasarkan laporan media, tiada individu mengalami kecederaan dalam adegan berkenaan.

Beberapa minit kemudian, penyerang Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dikepung oleh pegawai tentera semasa dia menuruni terowong bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, The Express mendakwa sebahagian daripada penyokong Sierra Leone yang memasuki padang didakwa berniat menyerang penyerang Liverpool itu tetapi kesahihannya masih belum diketahui sehingga kini.

Ada laporan mengatakan bahawa seorang peminat yang cuba mendekati Salah ketika kejadian berkenaan sedang memakai baju Manchester City, berdasarkan gambar dan video di media sosial.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada sebahagian penyokong bergurau bahawa individu berkenaan diupah oleh pengendali CIty, Pep Guardiola bagi mendatangkan kecederaan kepada Salah sebelum aksi kelabnya menentang Liverpool pada Sabtu ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram