PERTAHANAN negara, Dion Johan Cools, hampir dipukul dalam satu insiden pergaduhan pemain selepas perlawanan di antara Zhejiang FC dan Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di China pada Rabu.
Dalam video yang tular di media sosial, berlaku pergaduhan besar di antara pemain kedua-dua pasukan sebaik Zhejiang meraih kemenangan 3-2 ke atas Buriram United.
Pemain nombor 10 Buriram United, Ramil Sheydayev, dilihat dibelasah beramai-ramai oleh pemain tuan rumah dan ketika Cools ingin meleraikan satu lagi insiden pergaduhan, dia ditolak dan diprovokasi oleh pemain dan pegawai pasukan lawan.
Keadaan kembali tenang apabila pihak keselamatan stadium hadir meleraikan situasi dengan orang ramai di atas padang diiring ke dalam bilik persalinan masing-masing.
Difahamkan, pertelingkahan berpunca daripada lontaran kata-kata kesat segelintir pemain Buriram United terhadap pemain lawan.
Tidak berdiam diri, Buriram United menerusi media sosialnya mempersoalkan keselamatan para pemain dengan memuat naik video penyokong Zhejiang FC membaling botol ke dalam padang ketika insiden tersebut berlaku.
"Adakah ini Liga Juara-Juara Asia? Datang untuk main bola atau datang untuk berperang?" tulis Buriram United.
Sehingga kini, pihak AFC masih belum mengeluarkan kenyataan, namun ramai menjangkakan denda berat akan diberikan terhadap kedua-dua pasukan.
Selain perlu membayar denda, Buriram United dan Zhejiang FC juga berkemungkinan dikenakan pemotongan mata selepas insiden keganasan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram