BAGI mana-mana penjaga gol, tidak pernah sekali dalam fikiran mereka hendak dibolosi sebegitu banyak gol dalam sesebuah perlawanan.
Jika dibolosi lima gol sudah dikira terlalu banyak, apatah lagi kalau dua digit? Pastinya itu paling tidak dimahukan oleh mereka.
Malangnya, itulah yang terjadi kepada penjaga gol Kelantan FC, Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi apabila dia terpaksa menanggung episod hitam dalam perjalanan awal kariernya sebagai pemain profesional.
Selepas dibolosi 11 gol di laman sendiri sewaktu The Red Warriors (TRW) dibelasah Selangor FC dalam aksi Liga Super pada 25 Ogos lalu. Itu adalah kekalahan besar ketiga berturut-turut diterima Kelantan selepas tumbang 0-8 kepada Terengganu FC dan 0-10 oleh Johor Darul Takzim (JDT).
Kesebelasan utama Kelantan FC ketika dibolosi tujuh gol oleh Sabah pada Isnin. — Facebook/Sabah FC
Baru-baru ini, skuad kendalian Angel Alfredo Vera sekali lagi dibolosi oleh Sabah dengan keputusan 0-7 dalam perlawanan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Menurut penjaga gol Kelantan itu, tiada siapa mahu dibolosi sehingga tujuh gol namun terpaksa menerima keputusan terbabit dengan hati terbuka.
"Pasukan (Kelantan) dah buat sehabis baik, saya pun dah buat yang terbaik, dengan situasi sekarang tak boleh nak salahkan sesiapa. Jadi kita kena teruskan baki saingan liga.
"Sebagai penjaga gol, tiada siapa nak dibolosi sampai tujuh gol, kalau boleh setiap kali perlawanan saya dah 'set' dalam kepala tak nak ada bolos.
"Tapi ini bola sepak, bola itu bulat. Dengan pasukan lawan kualitinya lebih baik, jadi saya akan usaha lebih keras selepas ini," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi.
Irfan juga tidak dapat menyembunyikan perasaannya untuk berpindah keluar daripada Kelantan jika ada tawaran terbaik buat dirinya musim depan.
"Ya, saya ada impian untuk cari pasukan lebih baik. Saya pun doa ada pasukan nampak kualiti saya, InshaALLAH saya nak sertai pasukan lebih baik daripada Kelantan.
"Walaupun pasukan dari Liga M3, jika tawaran lebih baik saya pergi. Tidak kisah sama ada pasukan bawah-23 (B-23) atau Liga Super, perkataan saya 'the best team'.
"Setakat ini ada satu atau dua pasukan Liga M3 sudah kemukakan tawaran, kalau Liga Super ada khabar angin," luahnya.
Ramon Machado (lompat) berjaya menjaringkan satu gol ketika menentang Kelantan. — Facebook/Sabah FC
Tambahnya lagi, dorongan semangat daripada keluarga, ketua jurulatih dan rakan-rakan antara punca dia tidak memikirkan untuk bersara daripada bola sepak di usia muda.
"Dari skuad muda ke Liga Super, susah nak memikul amanah ini. Tapi kita kena pikul tanggungjawab itu sebagai seorang pemain dan penjaga gol.
"Semangat daripada keluarga, jurulatih dan kawan-kawan berikan saya motivasi meskipun saya nak pergi dari Kelantan ini.
"Tapi bila semua bagi semangat, saya tak terfikir untuk tamatkan karier malah mahu terus main dan berikan persembahan terbaik walaupun masalah yang berlaku dalam pasukan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram