KESEMUA pasukan Liga Malaysia (Liga M) pastinya sedang sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi musim baharu, apatah lagi saingan Liga Super tinggal berbaki tiga saja lagi perlawanan.
Johor Darul Takzim (JDT) antara pasukan yang sudah pun memulakan langkah awal dengan menandatangani pemain kelahiran Argentina, Jalil Elias secara percuma bermula musim depan.
Pelbagai khabar angin yang sedang bertebaran ketika ini dengan kemasukan pemain-pemain import dan tempatan ke pasukan baharu mulai musim depan.
Antara nama yang hangat diperkatakan akan berhijrah antaranya ialah Sergio Aguero, Manuel Hidalgo, Azam Azmi Murad, Faisal Halim dan beberapa bintang lagi.
Malah penyerang Selangor FC, Ayron del Valle yang disebut-sebut bakal kembali ke negara kelahirannya juga semakin menjadi topik bualan hangat seluruh penyokong Gergasi Merah.
Tanpa mendiamkan diri, penyokong Selangor mula mencadangkan tiga import berkualiti yang boleh dipertimbangkan kelab berpangkalan di Lembah Klang itu bagi saingan musim 2024 yang akan bermula pada April:
1. Erick de Arruda (Ceara SC)
Dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan Ceara SC, Erick de Arruda boleh menjadi sasaran pihak pengurusan untuk menggantikan Ayron del Valle yang dikhabarkan sudah menandatangani kontrak bersama Atletico Bucaramanga pada musim depan.
Musim ini, Erick yang beraksi di posisi sayap kanan berjaya menjaringkan 17 gol dan 11 bantuan jaringan (assist) dalam 48 penampilan terakhir.
Jika Selangor berjaya mendapatkan tandatangan pemain berkaki kiri ini, ia akan memberikan kelebihan buat Gergasi Merah kerana dia mampu beraksi dalam tiga posisi iaitu sayap kiri, kanan dan tengah.
Corak permainan Erick boleh disamakan dengan Safawi Rasid semasa era Tan Cheng Hoe mengendalikan Harimau Malaya ia sekali gus memberi kelebihan buat jurulatih berusia 55 tahun itu menggunakan khidmatnya.
2. Issa Kallon (Shanghai Port)
Mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad muda Belanda, Issa Kallon antara pilihan penyokong untuk menggantikan Ayron pada musim depan.
Dengan kontrak bakal tamat pada hujung tahun ini, pemain sayap Sierra Leone itu telah menjaringkan lima gol dan dua 'assist' dalam 24 perlawanan terakhir.
Sebelum beraksi di China bersama Shanghai Port, Kallon banyak mewakili pasukan di Liga Belanda bersama Vitesse Arnhem, FC Utrecht, FC Emmen dan SC Cambuur sebelum memilih ke Asia.
Mempunyai larian dan skil individu yang tinggi, corak permainan Kallon boleh disamakan dengan pemain import Terengganu FC, Sony Norde cumanya dia lebih bertenaga kerana faktor umur.
3. Gabriel Xavier (Ejen Bebas)
Pernah mengukir nama dalam Liga Jepun bersama Nagoya Grampus pada 2021, Gabriel Xavier kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan kelab Brazil, Chapecoense de Futebol pada September lalu.
Bersama Chapecoense musim ini, Xavier hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan perlawanan terakhir.
Karier paling cemerlang Xavier ialah ketika beraksi di Liga Jepun bersama Nagoya apabila dia membantu pasukan itu menjuarai Piala Liga Jepun dan menjaringkan 22 gol dan 37 'assist' dalam 137 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram